fb fb fb fb fb

Bantuan banjir & Aidilfitri: Johor umum peruntukan RM40 juta

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi / Foto Hiasan

JOHOR BAHRU, 26 Mac – Kerajaan Negeri Johor mengumumkan pelbagai inisiatif bantuan khas kewangan berjumlah lebih RM40 juta bagi membantu rakyat yang terjejas akibat bencana banjir serta golongan memerlukan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam satu kenyataan memaklumkan kerajaan negeri akan menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Bencana Banjir Monsun Timur Laut (MTL) berjumlah RM11.2 juta kepada 3,749 Ketua Isi Rumah yang berdaftar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Setiap keluarga yang terlibat akan menerima bantuan sebanyak RM3,000, yang akan disalurkan serentak di enam daerah terjejas esok.

"Selain itu, bagi meringankan beban rakyat menjelang Aidilfitri, kerajaan negeri turut memperuntukkan lebih RM18.4 juta bantuan kepada 90,439 penerima asnaf fakir dan miskin, selain RM1.5 juta untuk membantu 5,000 saudara baru dan Orang Asli dari asnaf muallaf," kata Onn Hafiz.

Turut diumumkan, bantuan one-off sebanyak RM500 kepada 6,970 imam dan bilal, 646 ketua kampung, serta 43 Batin Orang Asli. Kerajaan negeri juga memperuntukkan RM120,100 kepada 1,201 Anak Angkat Makmur Johor.

Dalam usaha memastikan mahasiswa anak Johor dapat pulang menyambut Aidilfitri, kerajaan negeri menyediakan 30 buah bas dengan peruntukan RM70,000, yang akan membawa 550 mahasiswa pulang ke kampung halaman.

Sebagai penghargaan kepada barisan hadapan, kerajaan negeri turut mengumumkan Bantuan Khas Hari Raya berjumlah RM5.49 juta kepada lebih 54,000 anggota keselamatan dan petugas kesihatan, termasuk anggota polis, tentera, bomba, petugas di CIQ, serta doktor dan jururawat.

Selain itu, 20,821 penjawat awam negeri, termasuk yang berkhidmat di Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan Berkanun Negeri, akan menerima Bantuan Khas Kewangan Hari Raya sebanyak RM1,000, yang akan disalurkan pada minggu pertama Aidilfitri.

"Diharapkan bantuan ini dapat membantu rakyat membuat persiapan Aidilfitri dan menjadi dorongan kepada penjawat awam untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi demi kesejahteraan Bangsa Johor," tambah Onn Hafiz.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN