SHAH ALAM, 29 Disember - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menzahirkan peringatan tegas kepada ahli-ahli politik di Selangor supaya menghentikan polemik politik dan memberi sepenuh tumpuan kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat.
Baginda turut memberi penekanan khusus kepada ahli politik supaya menghentikan perbincangan politik berlebihan dan memfokuskan kerja-kerja pembangunan demi kesejahteraan rakyat.
“Cukup-cukuplah bercakap pasal politik, fokus bekerja untuk menyelesaikan masalah rakyat kerana tidak lama lagi akan berlangsungnya pilihan raya umum,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah, segala tenaga dan pemikiran perlu ditumpukan kepada pembangunan yang nyata agar rakyat dapat hidup dengan lebih selesa, kebajikan terpelihara serta dilindungi oleh sistem yang adil dan berkesan.
Baginda bertitah demikian menerusi perutusan Tahun Baharu 2026 yang dimuat naik menerusi akaun Facebook Selangor Royal Office, hari ini.
Menurut baginda, kemakmuran rakyat dan kestabilan negeri perlu dijadikan matlamat utama dalam setiap perancangan dan tindakan, dengan niat yang tulus serta usaha yang bersungguh-sungguh.
Dalam titah yang sama, Sultan Selangor turut menegaskan keperluan mendesak untuk menangani masalah banjir di negeri ini secara menyeluruh dan berkesan, dengan sasaran jelas iaitu mencapai matlamat zero flood (sifar banjir).
Menurut baginda, kerajaan negeri perlu mendapatkan kepakaran terbaik, termasuk dari luar negara, serta memanfaatkan ilmu, teknologi dan pengalaman bagi memastikan penyelesaian jangka panjang dapat dilaksanakan.
“Jangan lagi berlindung di sebalik alasan, kerana penderitaan rakyat tidak boleh dijadikan harga yang perlu dibayar akibat kegagalan perancangan,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin turut mengakui bahawa bencana alam merupakan ketentuan Ilahi, namun baginda yakin masalah banjir boleh diatasi sekiranya wujud sistem yang baik, perancangan jangka panjang serta pelaksanaan yang jujur dan berdisiplin.
Menerusi perutusan itu, Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baharu 2026 kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama serta latar belakang.
Sultan Sharafuddin menzahirkan harapan agar 2026 membawa kemakmuran lebih besar kepada rakyat Selangor serta menjadi titik azam untuk menjadi insan lebih baik, berakhlak dan bermanfaat kepada keluarga, masyarakat dan negeri.
“Semoga Allah SWT memberkati negeri ini dan seluruh rakyat beta. Selamat Tahun Baharu 2026,” titah baginda.