fb fb fb fb fb

Remaja dikhuatiri dibaham buaya, SAR dipertingkat di Daro

FOTO RTM

DARO, 29 Disember - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lelaki yang dikhuatiri dibaham buaya di Daro kini memfokuskan kepada pemasangan perangkap buaya di sepanjang Sungai Kelai bagi mengesan mangsa.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, operasi yang memasuki hari keempat itu disambung semula seawal pukul 7.36 pagi tadi dengan memberi tumpuan kepada pemantauan di pesisir sungai serta pemeriksaan di lokasi pemasangan perangkap buaya.

Pemeriksaan awal mendapati tiga perangkap buaya yang dipasang sebelum ini masih belum membuahkan hasil.

Sehubungan itu, Sarawak Forestry Corporation (SFC) mengambil langkah tambahan dengan memasang empat umpan baharu, termasuk satu umpan di lokasi baharu dan tiga lagi di beberapa lokasi lain yang dikenal pasti berpotensi.

Operasi SAR turut disertai beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Unit Kawalan Pantai Sarawak (UKPS), Sarawak Coast Guard, Lembaga Sungai serta penduduk kampung setempat yang membantu melakukan pemantauan di kawasan hilir sungai menggunakan bot masing-masing.

Terdahulu, mangsa, Agustine Fernando Anak Nyalong, 14 tahun, dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu selepas dipercayai dibaham buaya ketika berada di kawasan Sungai Kelai.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD