fb fb fb fb fb

Pegawai kanan TDM masuk ICU, SPRM geledah pejabat di MINDEF, kediaman rasmi

Gambar Fail

KUALA LUMPUR, 29 Disember - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menggeledah pejabat Tentera Darat Malaysia (TDM) di Kementerian Pertahanan (MINDEF) serta kediaman rasmi milik seorang pegawai kanannya berkait siasatan aliran tunai besar dalam akaun bank.

Sumber memaklumkan penggeledahan dijalankan pada 27 Disember lalu sekitar 5 petang hingga pukul 12.00 tengah malam.

"Penggeledahan tidak menghasilkan sebarang sitaan wang tunai. Namun, SPRM telah menyita beberapa barangan mewah bernilai tinggi termasuk jam tangan dan beg tangan mewah yang dipercayai berkait dengan siasatan," kata sumber itu.

Menurut sumber sama, suspek sepatutnya hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM pada 28 Disember, namun dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada hari berkenaan.

Setakat ini, suspek masih menerima rawatan dan keterangan belum dapat direkodkan.

Bagaimanapun, siasatan diteruskan dengan SPRM memanggil saksi-saksi utama termasuk kontraktor yang dipercayai terlibat dengan projek Tentera Darat.

"Setakat ini, SPRM telah merakam keterangan lima pemilik syarikat dan jumlah keseluruhan saksi yang telah dipanggil bagi membantu siasatan adalah 10 orang," jelas sumber.

Sumber turut mendedahkan bahawa SPRM sedang menyiasat kira-kira 40 buah syarikat yang disyaki terlibat dalam pemberian wang rasuah dan siasatan terhadap syarikat-syarikat berkenaan sedang dijalankan secara berperingkat.

SPRM dijangka akan terus memperluaskan siasatan termasuk aspek aliran kewangan, perolehan projek dan kaitan individu serta syarikat yang terlibat, selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Akta SPRM 2009.

Selasa lalu, pegawai SPRM telah hadir ke MINDEF dan tumpuan terarah kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki telah mengesahkan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

"Hari ini, pegawai SPRM telah menjalankan penggeledahan di beberapa syarikat yang dipercayai terbabit bagi mendapatkan dokumen dan bahan bukti berkaitan," kata beliau.

Beliau juga mengesahkan bahawa enam akaun bank yang dipegang oleh suspek dan ahli keluarganya telah disita dalam siasatan ini.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM