JOHOR BAHRU, 26 Mac- Pengumuman pemberian kuota data percuma minimum 5GB sempena Hari Raya Aidilfitri pertama menerusi Insentif Rebat Rahmah oleh Kementerian Komunikasi hari ini disambut baik oleh orang ramai yang ditemui RTM di sini.
Mereka menyifatkan inisiatif itu sebagai langkah meringankan beban khususnya bagi individu yang tidak dapat pulang beraya bersama keluarga.
Selain komunikasi, data tambahan itu juga membolehkan pengguna menikmati kandungan hiburan sepanjang perayaan.
Penjawat awam, Uzair Hazim, menyatakan kepentingan akses internet semasa musim perayaan.
"Musim perayaan, perkara paling penting dalam internet ialah komunikasi. Kadang-kadang kita tak dapat capai semua orang, jadi biasanya kita akan telefon atau berhubung melalui internet," katanya.
Peniaga, Jaafar Ahmad, turut berpendapat insentif berkenaan memberi manfaat besar terutama bagi mereka yang tidak dapat pulang ke kampung kerana kos perjalanan yang tinggi.
"Sangat penting, sebab tahun ini saya tak balik kampung kerana kos tinggi. Jadi, sekurang-kurangnya hubungan silaturahim dapat diteruskan melalui internet," katanya.
Sementara itu, peniaga Siti Zuriah berkata data tambahan membolehkan pengguna mengakses pelbagai kandungan secara percuma.
"Data tambahan ini membolehkan kita mengakses pelbagai kandungan secara percuma termasuk program menarik di TV dan media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram," katanya.
BERITA BERKAITAN