fb fb fb fb fb

MINDEF perkukuh budaya integriti, profesionalisme warga kementerian

Ramli Hassan

KUALA LUMPUR, 27 November - Pembudayaan integriti dalam kalangan warga Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dilihat sebagai usaha memperkukuh budaya kerja beretika dan profesional selain melaksanakan tanggungjawab secara telus.

Menurut Ketua Unit Integriti, Kementerian Pertahanan Malaysia Ramli Hassan, justeru Hari Integriti dan Hari Inovasi Kementerian Pertahanan Tahun 2025 yang berlangsung pada 11 November 2025 lalu dilihat sebagai medium memperkasa pendidikan berhubung prinsip integriti dalam kalangan penjawat awam.

"Objektif utama adalah memberi kefahaman tentang apa itu integriti dan bagaimana ia penting kepada organisasi. Kita juga mahu semua warga kementerian mengamalkan dan memudayakan nilai integriti dalam tugas harian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, di sini.

Selain itu, MINDEF turut menekankan mesej berkaitan antirasuah, pelanggaran tadbir urus dan isu salah guna kuasa, di samping memaklumkan peranan Unit Integriti yang bertanggungjawab menangani isu-isu tersebut.

Pelbagai mekanisme aduan disediakan bagi memudahkan orang ramai dan warga MINDEF menyalurkan sebarang aduan berkaitan isu-isu integriti yang berlaku di kementerian itu.

Antaranya hadir terus ke Unit Integriti di Wisma Pertahanan Kuala Lumpur, menulis surat ke Unit Integriti, menghubungi talian rasmi atau aduan dalam talian menerusi Aduan Integriti MINDEF.

Sehubungan itu, Unit Integriti MINDEF melaksanakan enam fungsi utama dalam memastikan ketelusan organisasi antaranya menerima aduan, menjalankan pengesanan dan siasatan serta urus setia tatatertib.

Pelaksanaan fungsi-fungsi tersebut penting bagi memastikan MINDEF kekal sebagai organisasi berintegriti tinggi, selaras dengan tuntutan perkhidmatan awam dan harapan rakyat.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI