TAPAH, 27 Mac- Insentif pemberian data percuma 5GB pada hari pertama Aidilfitri yang diumum kerajaan semalam menerima reaksi positif masyarakat.
Usaha itu dilihat dapat memastikan masyarakat berhubung dengan keluarga dan sahabat handai tanpa kekangan akses terhadap internet.
Selain itu, sambutan Aidilfitri dapat disemarakkan menerusi penghasilan pelbagai kandungan kreatif di platform media sosial.
"Kalau hari raya memang pack orang nak ambil gambar, tunjuk baju raya, tunjuk kereta dan sebagainya, biasa macam lebih aktif. Sedikit sebanyak dapat membantu untuk berhubung dengan orang jauh", kata Syazmil Faizal Zainudin.
"Kita boleh buat live, boleh kongsikan, mesti saya rasa setiap isi rumah mesti nak post gambar posing raya dan sebagainya. Jadi bila dia dapat bantuan seperti ini sangat memberi manfaat kepada rakyat Malaysia", kata Syakir Abdullah.
"Kebiasaanya hari raya pertama, memang kita akan call mak ayah dekat kampung, sanak-saudara terutama sekali untuk anak-anak dekat perantauan memang amat memerlukan data yang diberikan ini", ujar Firdaus Ehsan Omar.
Semalam, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan pemberian Insentif Rebat RAHMAH berbentuk tambahan kuota data minimum 5GB bagi pengguna prabayar dan pascabayar.
Ia sah bagi tempoh 24 jam tertakluk kepada terma dan syarat, syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi terlibat.