fb fb fb fb fb

14,489 premis curi elektrik untuk lombong kripto dibongkar sejak 2020

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof/RTM

KUALA LUMPUR, 27 November -Sebanyak 14,489 premis yang terlibat dalam kecurian elektrik bagi aktiviti perlombongan kripto berjaya dibongkar sejak tahun 2020.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, tindakan penguatkuasaan dilakukan secara bersepadu melibatkan pelbagai agensi bagi mengekang penyalahgunaan tenaga elektrik dalam aktiviti perlombongan mata wang kripto seperti Bitcoin.

Katanya, operasi bersepadu itu melibatkan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pasukan Petugas Jenayah Kolar Putih Nasional (PPJKN), CyberSecurity Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Kalau kita melihat setakat ini premis yang telah berjaya dibongkar oleh TNB daripada 2020 hingga 2025, 14,489 buah rumah dan 91 operasi telah dilakukan dengan 77 kertas siasatan telah diadakan. Daripada segi kerugian sejumlah kerugian yang ditanggung oleh TNB ialah RM5.14 bilion, jadi itu yang kita telah dilaksanakan oleh TNB. Apa yang telah disiasat oleh TNB juga adalah 85 kes di mana mereka betul-betul menjadi mangsa maka mereka tidak didakwa dan mereka tidak perlu membayar kepada TNB," beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memaklumkannya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Jelasnya, selain operasi serbuan, kerajaan telah melaksanakan pengesahan biometrik di premis TNB serta penggunaan electronic Know Your Customer (eKYC) bagi permohonan akaun elektrik bagi mengurangkan risiko akaun keldai dan penyalahgunaan identiti.

Setakat ini, 85 pemilik akaun disahkan mangsa penyalahgunaan identiti dan tidak didakwa atau dikenakan bayaran setelah siasatan membuktikan mereka tidak terlibat dalam aktiviti curi elektrik.

TETITIA YUSOFF