KUALA LUMPUR, 27 November - Kerajaan memberi jaminan bahawa pemilik akaun sah tidak akan dipertanggungjawabkan ke atas bil atau hutang penipuan, sementara mekanisme keselamatan identiti pengguna akan terus diperkukuh.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, justeru Tenaga Nasional Berhad (TNB) melaksanakan pengesahan biometrik serta memperluas penggunaan sistem eKYC bagi mengatasi kes pemalsuan akaun elektrik, akaun keldai dan penyalahgunaan identiti untuk tujuan mencuri elektrik.
"Sejak Julai 2023, TNB telah melaksanakan pengesahan biometrik di Kedai Tenaga dengan menggunakan cap jari dan MyKad bagi tujuan pengesahan identiti. Selain itu, kaedah electronic Know Your Customer (eKYC) turut digunakan untuk permohonan dalam talian dan akan diperluaskan secara berperingkat tahun ini bagi semua permohonan individu melalui portal myTNB," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkenaan langkah segera TNB dan pihak berkuasa bagi mengekang pembukaan akaun tanpa pengetahuan pemilik yang dilakukan orang dalam untuk tujuan kecurian elektrik serta jaminan pemilik tidak dipertanggungjawabkan atas bil atau hutang yang terhasil.
Menurut Datuk Seri Fadillah langkah tersebut penting bagi melindungi pengguna daripada penipuan sekali gus memelihara integriti sistem bekalan elektrik negara.
Kedua-dua kaedah itu bukan sahaja mengurangkan risiko penipuan identiti, malah meningkatkan keyakinan pengguna serta memastikan pematuhan kepada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.