KUALA LUMPUR, 27 November - Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) mengeluarkan ramalan awal banjir bagi beberapa daerah di tiga negeri di Pantai Timur semenanjung Malaysia, termasuk Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Ia melibatkan tempoh tiga hari mulai hari ini.
Kelantan menyaksikan 10 jajahannya terlibat termasuklah Pasir Mas, Pasir Puteh, Kota Bharu, Bachok, Kuala Krai, Tumpat, Jeli, Machang, Tanah Merah dan Gua Musang.
Manakala di Terengganu pula lapan daerah terlibat termasuklah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Dungun, Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman.
Sementara itu di Pahang, melibatkan daerah Kuantan, Cameron Highlands dan Pekan.
Banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari tarikh yang dijangkakan.
Semua agensi pengurusan bencana serta penduduk terutamanya di kawasan terlibat, diminta berwaspada dan peka arahan pihak berkuasa.
Pemantauan menyeluruh akan terus dilaksanakan JPS.