fb fb fb fb fb

PM nasihat orang ramai pandu berhemah, berhati-hati pulang ke kampung

Perdana Menteri menyantuni orang ramai ketika melakukan tinjauan persiapan sambutan Aidilfitri di Kompleks PKNS/ BERNAMA

SHAH ALAM, 28 Mac- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihati orang ramai yang akan pulang ke kampung halaman menyambut Aidilfitri supaya memandu kenderaan secara berhemah dan berhati-hati di jalan raya.

Beliau berkata, langkah waspada perlu diambil berikutan angka kemalangan yang semakin meningkat pada musim perayaan dan ia harus dielakkan.

"Banyak yang pulang ke tempat masing-masing, kita ambil semua langkah yang perlu, tetapi kita minta supaya pemandu agar lebih berwaspada kerana jumlah kemalangan ini sudah meningkat terlalu tinggi dan kita harus elakkan.

"Jadi, itu sebagai pesan kepada semua, kita nak pergi ini untuk silaturrahim untuk Aidilfitri, tetapi kalau dah kemalangan, ia akan susahkan bukan sahaja keluarga kita, tetapi juga seluruh sanak saudara. Jadi, kita doakan semuanya selamat, insya-Allah", katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Raja Tun Uda, Seksyen 16, di sini.

Terdahulu, Perdana Menteri hadir menunaikan solat Jumaat bersama 2,000 jemaah di masjid tersebut.

Beliau turut meluangkan masa meninjau Festival Ramadan Selangor 2025 sempena persiapan Aidilfitri di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

ROSLINA BINTI DIN