SHAH ALAM, 28 Mac- 85 hingga 90 peratus rakyat tidak akan terkesan dalam pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 pada separuh pertama tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan mekanisme secara terperinci telah dikaji dan pelaksanaan itu hanya akan memberi kesan kepada golongan maha kaya.
"Mekanisme secara terperinci kita buat, tapi saya tidak fikir rakyat biasa runsing... sebab 85 hingga 90 peratus tidak terkesan, apa pun kaedah yang kita perkenalkan dalam isu rasionalisasi minyak RON95, janganlah dengar fitnah-fitnah, bulan puasa pun mereka bangkitkan.
"Umpamanya kita naikkan elektrik, yang naik itu untuk orang kaya sahaja, begitu juga RON95. Malah kita kaji apakah 85 hingga 90 peratus tidak dikenakan rakyat, yang akan dikenakan siapa? orang asing dan orang yang maha kayalah, kalau gaji dia pendapatan RM50,000 sebulan bayarlah sikit. Tapi, umumnya tiada terkesan", tegas Datuk Seri Anwar.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Raja Tun Uda, Seksyen 16, Shah Alam.
Semalam, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan perincian mengenai penggunaan MyKad bagi pelaksanaan subsidi bersasar RON95 akan dibentang di Parlimen, menjelang separuh kedua tahun ini.
Katanya, mekanisme itu sedang diperhalusi termasuk mengambil kira keberkesanan penggunaan dalam penyaluran bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Sementara itu, pelaksanaan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid, tidak wajar dipolemikkan.
Perdana Menteri menegaskan, langkah dipersetujui Kabinet itu diambil, sebagai usaha menyemai semangat cintakan negara, yang perlu dimulakan sejak di bangku sekolah.
"Tak ada susah, bendera dibagi percuma, lekat sahajalah. Banyak negara jiran dah buat lama, kita pun telah fikir dan bincang, buat sahajalah. Supaya anak-anak itu dari awal dididik untuk kasih kepada negara, itu sahaja.
"Saya tidak fikir hal ini pun jadi polemik panjang. Tengok negara-negara lain jiran, yang saya tahu dah lama amalkan. Bila dicadangkan oleh Kementerian Pendidikan, cadangan dah lama tertangguh, saya putuskan dan Jemaah Menteri setuju supaya dapat dilaksanakan segera dengan pemberian bendera secara percuma", katanya.
Semalam, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan mengenai pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar berkuat kuasa mulai 21 April depan.