KUALA LUMPUR, 27 November - Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan amaran berhubung pembentukan satu ribut tropika yang dikesan berada pada Latitud 3.7° Utara dan Longitud 98.6° Timur.
Menurut MET Malaysia, ribut tropika itu dijangka bergerak ke arah Timur Tenggara dengan kelajuan sekitar 7 kilometer sejam, dan berpotensi membawa angin maksimum sehingga 65 kilometer sejam.
"Keadaan cuaca ini dijangka menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang serta laut bergelora di beberapa kawasan Semenanjung Malaysia, khususnya ketika negara memasuki fasa Monsun Timur Laut (MTL).
"Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dan membuat persediaan menghadapi episod hujan lebat, selain sentiasa mengikuti perkembangan terkini melalui laman web www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi dan talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638," menurut kenyataan tersebut.
MET Malaysia turut mengingatkan maklumat, nasihat dan amaran cuaca akan dikemas kini dari semasa ke semasa bagi memastikan orang awam menerima perkembangan yang tepat dan terkini.