fb fb fb fb fb

UUM usaha bawa pulang 4 pensyarah, 36 pelajar terkandas di Hat Yai

Foto Universiti Utara Malaysia (UUM)

SINTOK, 27 November - Usaha memindahkan dan membawa pulang 36 pelajar dan empat pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terkandas banjir di Hat Yai, Thailand dijangka akan dilakukan pada Khamis (hari ini).

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed menerusi kenyataan memaklumkan UUM cuba untuk membawa pelajar dan empat pensyarah berkenaan melalui pihak konsulat Malaysia di Hat Yai dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Sebelum ini melalui bantuan NGO, 12 bot telah digerakkan untuk memberikan bantuan makanan dan keperluan asas kepada pelajar itu di hotel penginapan mereka, Wangburapa Grand di Hatyai, tetapi arus air terlalu laju menyebabkan bot berkenaan berpatah balik.

"Berbanding di tempat lain, hotel kediaman pelajar UUM berdekatan dengan sungai dan ketinggian paras air telah melebihi satu tingkat hotel berkenaan, yang tidak memungkinkan laluan kenderaan kereta atau lori," menurut kenyataan itu.

Setakat semalam kesemua pelajar terbabit dilaporkan selamat dan dalam keadaan baik sejak terkandas di Hat Yai pada 22 November lalu ketika mengikuti Program Pertukaran Budaya Thailand–Malaysia 2025.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI