fb fb fb fb fb

Perindustrian di Gebeng pemangkin ekonomi komuniti Pahang

Foto hiasan

KUANTAN, 27 November - Pembukaan kilang dan industri di Gebeng, di sini terus memberi kesan langsung kepada penduduk setempat terutama dari segi peluang pekerjaan dan penggerak ekonomi setempat.

Rata-rata penduduk menyifatkan kemasukan pelaburan industri mencipta peluang pekerjaan kepada penduduk setempat sekali gus mengurangkan keperluan bekerja di luar daerah.

Menurut Amir Hamdan Abdul Hamid, 22, seorang juruteknik elektrik, projek-projek baharu yang dibawa masuk ke kawasan perindustrian itu membuka lebih banyak ruang pekerjaan.

"Macam saya kerja sebagai juruteknik, kilang ini baru dapat kerja pendawaian, jadi ini memberi peluang kepada saya untuk dapat pekerjaan," katanya.

Bagi Faizan Amin Ab Rahman, 32, yang bekerja sebagai penjaga gudang, kewujudan pelbagai sektor industri di Gebeng memudahkan golongan muda mencari pekerjaan.

"Di kawasan Gebeng ini, kemudahan kerja memang senang. Ada banyak sektor, jadi mudah untuk dapat kerja. Untuk anak-anak muda pun, insya-Allah boleh dapat peluang dengan usaha," jelasnya.

Turut senada dengan perkara itu, Surhaidi Ghazalli, 47, seorang pemandu lori, mengakui pendapatan masyarakat setempat semakin meningkat sejak kawasan perindustrian itu dibangunkan.

"Sejak ada Perindustrian Gebeng ini, punca pendapatan orang setempat banyak berubah. Tahun demi tahun memang ada peningkatan," katanya.

Selain menyediakan peluang pekerjaan, pelaksanaan industri di Gebeng turut merancakkan perniagaan tempatan termasuk peniaga kecil-kecilan dalam sektor makanan.

Peniaga makanan, Suriati Aman, 43, berkata perniagaannya berkembang pesat hasil kehadiran pekerja kilang dan komuniti sekitar.

"Alhamdulillah, dari satu meja kini sampai empat meja. Sambutan pun bagus, pelanggan tetap orang kilang, pemandu lori dan orang luar," katanya.

Bagi Nabimah Mohammed, 50, yang turut menjalankan perniagaan makanan, industri di Gebeng menjadi sumber rezeki utama keluarganya.

"Memang membantu kami bergantung pada perniagaan ini sebagai sumber pendapatan," katanya.

Sementara itu, pengusaha bengkel, Azman Omar, 57, berkata pertambahan kilang serta jumlah pekerja juga memudahkan urusan perniagaannya.

"Dulu kilang tak banyak, sekarang dah banyak. Pelanggan pun senang. Kalau pagi hantar kereta, pergi kerja, siap nanti mereka datang ambil balik," jelasnya.

Pembukaan kilang dan industri di Gebeng bukan sahaja membuka peluang pekerjaan baharu malah menjadi pemangkin kepada pengukuhan ekonomi komuniti setempat.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI