LANGKAWI, 27 November -Seorang maut dan 18 kru berjaya diselamatkan dalam kejadian kapal yang dilaporkan hampir karam di perairan Timur Laut Pulau Perak, di sini.
Kesemua mangsa yang ditemui diberikan rawatan awal manakala mayat seorang lelaki diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.
Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa dalam satu kenyataan berkata KD LEDANG milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya mengesan kesemua mangsa
dan tiba di Jeti TLDM MAWILA 3 pada pukul 6.00 pagi tadi.
"Dengan penemuan semua mangsa, OP CARILAMAT kini ditamatkan sepenuhnya," katanya menerusi satu kenyataan.
Semalam, pada 10.45 pagi, Maritim Malaysia menerima laporan daripada pemilik kapal Syed M. Hidayat yang memaklumkan kapalnya dalam keadaan membahayakan pada kedudukan kira-kira 14.6 batu nautika dari arah Timur Laut Pulau Perak.
"Keadaan cuaca pada waktu kejadian dilaporkan agak buruk dengan angin bertiup dari arah Timur Laut pada kelajuan antara 30 hingga 40 kilometer sejam serta ketinggian ombak dianggarkan antara 1.5 hingga 2.5 meter," katanya lagi.
Sejurus itu, aset digerakkan ke lokasi kejadian dan akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk menilai keadaan kapal, memastikan keselamatan kru serta menentukan langkah-langkah susulan yang diperlukan.