KUALA NERUS, 27 November - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) meneruskan tanggungjawab sosial dengan menghantar 30 kakitangan ke Kelantan bagi membantu pelajar dan kakitangan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang terjejas akibat banjir.
Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr. Fadzli Adam berkata, misi berkenaan diketuai Dr. Akilla Mamat yang akan ke UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa.
"Kita menghantar lebih kurang 30 staf UniSZA untuk mengagihkan barangan keperluan asas kepada pelajar dan staf yang terkesan banjir. Jika terdapat keperluan tambahan, kita akan terus melaksanakan penghantaran bagi misi bantuan banjir ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelepasan berlangsung di Lobi Bangunan Canselori, Kampus Gong Badak, dihadiri sukarelawan, dif jemputan dan pengurusan tertinggi universiti di sini.
Penyelarasan telah dilakukan dengan pihak UMK bagi memastikan bantuan yang dihantar tidak bertindih dengan misi lain.
Bantuan berkenaan termasuk makanan asas, air mineral, selimut dan keperluan harian lain.