KUALA NERUS, 27 November - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) memperuntukkan RM50,000 bagi persediaan awal bencana sebagai salah satu tanda keprihatinan dan bantuan segera kepada warga kampusnya ditimpa bencana alam.
Naib Canselor UniSZA Profesor Datuk Dr. Fadzli Adam berkata, ia meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut dengan menggerakkan pasukan petugas banjir, sukarelawan, dan Tabung Bencana Universiti bagi membantu mereka yang terjejas banjir.
"Lebih daripada 150 warga universiti, termasuk kakitangan, kini berada dalam keadaan bersedia. Kita juga menggerakkan seramai 350 pelajar Briged Sukarelawan UniSZA untuk membantu sekiranya diperlukan dalam proses perpindahan, penyediaan makanan dan bantuan lain yang diperlukan oleh warga UniSZA serta komuniti setempat," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Selain persediaan fizikal, UniSZA juga memberikan kelonggaran kepada pelajar dan pensyarah terkesan banjir untuk pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian sehingga keadaan kembali pulih.
Perkara itu bagi memastikan aktiviti akademik tetap diteruskan walaupun berlaku bencana.
Menurut Profesor Datuk Dr Fadzli, UniSZA menekankan kesiapsiagaan dan tanggungjawab sosial sebagai misi utama bagi memastikan keselamatan warga kampusnya, diutamakan ketika Monsun Timur Laut.
UniSZA juga mengekalkan Tabung Bencana Universiti dan pernah mengumpul lebih RM100,000 untuk misi bantuan terdahulu.