KUALA LUMPUR, 27 November - 15 sungai di enam daripada tujuh negeri terjejas banjir di semenanjung Malaysia, merekodkan paras air melepasi tahap bahaya, setakat pukul 9:30 pagi Khamis.
Berdasarkan laman sesawang Public Info Banjir kendalian Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), enam daripada sungai tersebut di Kedah, membabitkan Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Kota Setar yang mencatat 3.56 meter (m), melepasi tahap bahaya, 2.60 m.
Manakala Sungai Laka di Kampung Padang Pasir, Kubang Pasu, merekodkan paras 22.32 m, Sungai Baru di Kampung Sungai Baru, Kota Setar (2.08 m), Sungai Padang Terap di Kepala Batas, Kubang Pasu (4.76 m), Sungai Padang Terap di Pelubang, Kubang Pasu (8.92 m) dan Sungai Bata di Kampung Pahana, Kubang Pasu (10.97 m).
Masing-masing melepasi tahap bahaya 21.60 m, 2.08 m, 2.00 m, 4.76 m, 3.80 m, 8.90 m dan 9.80 m.
Di Terengganu, tiga sungai terlibat, termasuklah Sungai Nerus di Kampung Bukit (F1), Setiu ( 13.39 m), Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu (21.74 m) dan Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu (13.34 m), masing-masing melepasi tahap bahaya 13.20 m, 21.00 m dan 13.20 m.
Dua sungai di Kelantan terlibat adalah Sungai Golok di Rantau Panjang (F1), Pasir Mas (10.09 m) dan Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang (59.28 m), masing-masing melepasi tahap bahaya, 9.00 m dan 59.00 m.
Perlis turut merekodkan dua sungai yang melepasi tahap bahaya, iaitu Sungai Perlis di Kampung Sungai Bakau, Kangar (3.86 m) dan Empangan Timah Tasuh, Padang Besar (30.63 m), masing-masing melepasi tahap bahaya 3.50 m dan 29.60 m.
Di Selangor pula membabitkan Stesen Pintu Air Ijok, Kuala Selangor (Sungai Sembilang) dengan paras 4.02 m, melepasi tahap bahaya 3.60 m.
Begitu juga dengan Perak, yang merekodkan hanya satu sungai iaitu Sungai Slim di Slim River (25.96 m), melepasi tahap bahaya 25.40 m.
Tiada sungai di Pahang melepasi tahap bahaya.