fb fb fb fb fb

PERKAMA International rangka 30 inisiatif, perkukuh kesihatan mental

Presiden PERKAMA International, Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin/RTM

KUALA LUMPUR, 1 Januari -Sempena ulang tahun ke-10, Persatuan Kaunseling Malaysia Antarabangsa (PERKAMA International) telah merangka sebanyak 30 aktiviti berskala besar bagi memperkukuh profesion kaunseling serta memberi manfaat kepada pengamal, pelajar dan masyarakat.

Presiden PERKAMA International, Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin berkata, antara program utama ialah penganjuran Konvensyen Kaunseling Kebangsaan pada Oktober depan, namun kali ini digabungkan dengan Konvensyen Kaunseling ASEAN, sejajar penubuhan ASEAN Counseling Network (ASCON).

Beliau berkata, penganjuran konvensyen itu akan menghimpunkan rakan profesional kaunseling dari negara-negara ASEAN, yang mana Malaysia turut dipilih sebagai tuan rumah.

"PERKAMA International turut meneruskan siri Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) bagi meningkatkan kompetensi pengamal kaunseling agar perkhidmatan yang diberikan kepada klien lebih berkualiti dan berkesan.

"Dalam usaha melahirkan kaunselor pelapis, persatuan juga memberi penekanan kepada penglibatan aktif mahasiswa bidang kaunseling melalui pelbagai program melibatkan pelajar dari IPTA, IPTS dan Institut Pendidikan Guru (IPG).

"Selain itu, sebuah podcast bual bicara kaunselor akan dilancarkan sebagai medium perkongsian ilmu dan kesedaran kesihatan mental kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya kepada RTM selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia (SPM), di Angkasapuri.

Datuk Dr Abd Halim berkata, pada masa sama Kerajaan Selangor telah memanfaatkan kepakaran PERKAMA International bagi menganjurkan program Kaunselor Hab Selangor Mental Sihat (SeHAT), iaitu perkhidmatan kaunseling percuma kepada rakyat negeri itu yang kini diperluaskan ke beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Kerjasama strategik itu turut merangkumi penganjuran slot ‘Curahan Hati’ bersama radio Selangor FM, yang dilaksanakan secara bersemuka dan dalam talian, yang dijangka diperluaskan ke negeri-negeri lain bagi memperkasa agenda kesihatan mental dan kesejahteraan rakyat melalui perkhidmatan kaunseling profesional.

Sementara itu, beliau berkata, PERKAMA International akan memperkemas kerjasama strategik bersama Gabungan Persatuan Kaunseling Malaysia bagi memperkukuh penyelarasan dan pembangunan profesion kaunseling di negara ini.

Persatuan itu juga sedang merintis pembentukan gabungan melibatkan pengamal kaunseling swasta dengan kerjasama Persatuan Kaunselor Swasta, bertujuan merangka hala tuju baharu lebih tersusun dan progresif demi kesejahteraan masyarakat.

TETITIA YUSOFF