KUALA LUMPUR, 1 Januari – Pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang berkuat kuasa mulai hari ini disifatkan sebagai langkah proaktif kerajaan dalam melindungi kanak-kanak dan remaja daripada kandungan berbahaya di platform digital.
Menurut Dr Siti Nor Amalina Ahmad Tajuddin, Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi dan Media, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), fokus utama akta ini adalah menangani jenayah siber seperti penipuan, perjudian dalam talian serta eksploitasi seksual kanak-kanak yang semakin membimbangkan.
“Statistik jenayah siber menunjukkan kerugian akibat penipuan dari Januari hingga November 2025 dianggarkan melebihi RM2.8 bilion. Golongan remaja dan kanak-kanak kini menjadi sasaran utama penjenayah kerana dianggap ‘easy target’,” kata beliau.
Pelaksanaan ONSA termasuk penguatkuasaan had umur minimum 16 tahun untuk pendaftaran akaun media sosial diyakini dapat membantu mengurangkan risiko jenayah siber dan membina ekosistem digital yang lebih selamat.
Dr Siti Nor Amalina menegaskan akta ini bukan untuk menyekat kebebasan bersuara, sebaliknya untuk memastikan pengguna muda dilindungi daripada kandungan yang berbahaya.
Beliau turut mengakui wujud cabaran teknikal dan kos tambahan kepada penyedia platform, namun menekankan keselamatan kanak-kanak tidak boleh dikompromi.
Beliau berharap kajian akademik lanjut dijalankan untuk menilai keberkesanan ONSA serta membandingkan statistik jenayah sebelum dan selepas penguatkuasaannya bagi memastikan keselamatan digital negara terus terjamin.
