fb fb fb fb fb

Sambutan TMM 2026 tonjolkan keindahan kepelbagaian budaya dan keharmonian nasional

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama pengunjung ketika hadir pada Visit Malaysia 2026 Countdown Festival, sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dan Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 di Bukit Bintang malam tadi / Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 1 Januari – Sambutan Tahun Baharu 2026 bagi Majlis Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) berlangsung dalam suasana penuh harmoni dan meriah melalui Countdown Festival yang diadakan malam tadi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata acara tersebut menjadi pemangkin awal kepada kempen TMM 2026 serta mempamerkan kepelbagaian budaya dan semangat kebersamaan rakyat Malaysia dalam menyambut tetamu dari seluruh dunia.

“Detik kemuncak sambutan diserikan dengan persembahan multimedia berskala besar, termasuk pertunjukan bunga api yang memeriahkan kawasan tumpuan pelancongan dalam suasana aman dan tertib.

“Moga penganjuran sebegini terus memperkukuh keharmonian dan perpaduan nasional, serta membuka lembaran baharu dalam memposisikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang mesra, inklusif dan dihormati di persada global,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Sambutan TMM 2026 turut menjadi platform bagi rakyat Malaysia menunjukkan budaya mesra dan keramahan terhadap pelancong antarabangsa, selaras dengan aspirasi negara dalam menarik lebih ramai pengunjung pada tahun ini.

Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 membuka tirainya secara rasmi menerusi penganjuran Visit Malaysia 2026 Countdown Festival, iaitu sambutan ambang tahun baharu berskala besar yang berlangsung meriah di Pavilion Kuala Lumpur.

Festival kira detik yang disertai Anwar, menandakan permulaan kepada usaha memacu momentum awal sektor pelancongan negara ke arah sasaran 43 juta ketibaan pelawat antarabangsa, selari dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama pelancong dunia.

AMIRULL SHAFFIQ BIN ABDUL GHANI