fb fb fb fb fb

Rakyat sambut baik keputusan kerajaan kekalkan kadar tol

Foto fail

KLANG, 1 Januari -Keputusan kerajaan tidak menaikkan kadar tol di beberapa lebuh raya utama disambut baik rakyat daripada pelbagai kaum.

Rata-rata melihat langkah itu mampu meringankan beban kos sara hidup mereka.

Lebuh raya terlibat ialah Lebuhraya Cheras-Kajang (GRANDSAGA), Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB), Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) serta Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB).

Pengguna lebuh raya menyifatkan keputusan itu sebagai tepat pada masanya, khususnya ketika rakyat berdepan peningkatan kos perbelanjaan harian.

“Kami menyokong dan menghargai langkah ini kerana kos perjalanan kini lebih terkawal, termasuk penjimatan perbelanjaan minyak. Terima kasih kepada Perdana Menteri atas inisiatif yang jelas memberi manfaat kepada rakyat,” kata Jamaluddin Sham.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan MADANI kerana mengekalkan kadar tol. Ia memudahkan saya untuk kerap pulang ke kampung dan menjimatkan kos perjalanan, khususnya apabila berulang-alik ke utara hingga Pulau Pinang,” kata M. Ramachandran.

“Bagi kali ini, kadar tol lebuh raya tidak dinaikkan dan kekal sama. Terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana memberi peluang kepada kami menjimatkan perbelanjaan, sekali gus membantu menampung kos sara hidup yang semakin meningkat serta menggalakkan pelancongan domestik,” kata Chua Pei Yong.

Rakyat berharap keputusan mengekalkan kadar tol ini dapat diteruskan sebagai usaha berterusan kerajaan membantu meringankan beban kehidupan seharian.

TETITIA YUSOFF