KUALA LUMPUR, 1 Januari -Pasukan Malaysia, Vortex Winterguard mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya merangkul kejuaraan kategori terbuka 'colorguard' pada Thailand World Music Championship 2025 baru-baru ini, sekali gus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
Pengasas pasukan, Muhammad Rafaeil Redzuan berkata, kejayaan tersebut menandakan penampilan dan kemenangan sulung Vortex Winterguard di luar negara sejak penubuhannya pada 2015, selepas sekian lama mendominasi industri persembahan seni visual tempatan.
Beliau berkata, Vortex Winterguard menampilkan persembahan bertemakan "Art of Water", yang diinspirasikan daripada fenomena bencana alam di Malaysia khususnya isu banjir yang kerap melanda Pantai Timur.
"Persembahan berkonsepkan elemen air itu digarap melalui pendekatan visual artistik dan teknikal tinggi, diiringi muzik berunsur karya Michael Jackson, sekali gus berjaya memikat perhatian penonton dan barisan juri.
"Pasukan mencatat markah tertinggi dalam kategori visual dan teknikal, mengatasi beberapa pasukan antarabangsa lain yang turut bertanding," katanya kepada RTM selepas menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM).
Mengulas hala tuju masa depan, Muhammad Rafaeil berkata, pasukan menyasarkan tahun 2026 sebagai fasa pengembangan industri tempatan dengan memberi tumpuan kepada pembangunan bakat muda di peringkat sekolah dan lepasan sekolah.
"Vortex bukan sekadar sebuah pasukan, tetapi platform untuk membuka peluang kepada remaja Malaysia bersaing di peringkat antarabangsa dalam bidang colorguard," katanya.
Tambah beliau, kejayaan di Thailand World Music Championship turut disifatkan sebagai pencapaian penting dalam usaha memperkukuh kehadiran seni persembahan visual Malaysia di pentas dunia.
Ditubuhkan pada 2015, Vortex Winterguard dikenali sebagai antara pasukan dominan dalam kejohanan terbuka tempatan, namun kemenangan di Thailand menjadi titik tolak baharu dalam perkembangan pasukan ke peringkat global.
Pasukan itu dianggotai pemain dari seluruh negara termasuk pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Malaya serta beberapa sekolah elit di Kuala Lumpur, Selangor, Kedah dan Johor.
