PUTRAJAYA, 1 Januari - Program Gema Syukur Sempena Tahun Baharu 2026 menerima sambutan menggalakkan daripada masyarakat yang memilih pengisian kerohanian sebagai pendekatan menyambut peralihan tahun baharu.
Majlis yang dirasmikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee itu bertujuan memperkenalkan bentuk sambutan tahun baharu yang lebih bermakna serta berteraskan nilai Islam.
Menurut beliau, penganjuran program tersebut merupakan pendekatan dakwah bagi memberi pilihan kepada umat Islam untuk menyambut tahun baharu dengan aktiviti berfaedah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
“Selama ini, sambutan tahun baharu sering dikaitkan dengan perhimpunan dan sorakan menunggu detik 12 malam. Namun menerusi program ini, kita membawa masyarakat ke masjid untuk bersama-sama beramal, beribadah dan mendapatkan suntikan ilmu sebagai bekalan untuk hari ini dan masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berkenaan di sini.
Kehadiran pengunjung daripada pelbagai peringkat umur membuktikan kesinambungan kejayaan penganjuran program yang telah dilaksanakan pada tahun lalu, sekali gus mencerminkan penerimaan positif masyarakat terhadap pendekatan dakwah yang diketengahkan.
Program itu turut menghimpunkan masyarakat di masjid bagi mengimarahkan ibadah serta menimba ilmu, sekali gus memperkukuh peranan masjid sebagai pusat penyatuan ummah.
Selain pengisian kerohanian, aspek kebajikan turut diberi perhatian apabila sumbangan bakul makanan disampaikan kepada golongan asnaf sebagai tanda keprihatinan sosial.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Ajib Ismail dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Ahmad Fauwaz Fadzil.
