
SHAH ALAM, 16 Mei – Kira-kira 5,000 peserta terdiri daripada pemimpin politik, ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang awam menyertai Himpunan Daulat Tuanku sebagai tanda sokongan terhadap institusi Raja-Raja Melayu dan kedaulatan Islam di negara ini.
- Datuk Ibrahim Ali mencadangkan Rang Undang-Undang Akta Kedaulatan Raja untuk menghukum penghinaan terhadap institusi diraja.
- Usul penubuhan panel khas dianggotai Ketua Hakim Negara, Perdana Menteri, Peguam Negara, Ketua Polis Negara dan wakil Majlis Raja-Raja.
- Polis menerima 280 laporan berkaitan penularan karikatur yang didakwa menghina Sultan Selangor pada 3 Mei.
Peserta berhimpun secara aman selepas berarak sejauh kira-kira satu kilometer dari Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menuju ke Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Dalam himpunan tersebut, Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Ibrahim Ali mencadangkan agar kerajaan menggubal Rang Undang-Undang Akta Kedaulatan Raja bagi membendung serta menghukum mana-mana pihak yang menghina institusi diraja.
Menurut beliau, akta khas itu perlu diwujudkan segera sebagai mekanisme perundangan lebih tegas bagi melindungi martabat Raja-Raja Melayu daripada sebarang cabaran pihak tidak bertanggungjawab.
“Cadangan berkenaan termasuk pemberian kuasa tahanan khas terhadap individu yang menghina institusi diraja, selain penubuhan Lembaga Kedaulatan Raja yang berperanan meneliti dan mengemukakan syor berkaitan kesalahan tersebut,” katanya.
Beliau berkata ketika membacakan Pengisytiharan 16 Mei 2026 dalam Himpunan Daulat Tuanku di luar pekarangan bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, petang tadi.
Beliau turut mengusulkan penubuhan panel khas dianggotai Ketua Hakim Negara, Perdana Menteri, Peguam Negara, Ketua Polis Negara serta wakil dilantik Majlis Raja-Raja bagi memastikan penguatkuasaan dilaksanakan secara sistematik.
Tambahnya, langkah itu merupakan reaksi serta usaha pencegahan bagi memastikan tiada lagi sebarang bentuk penghinaan, penderhakaan atau tindakan mencabar kedaulatan Raja-Raja Melayu serta kedudukan Islam pada masa hadapan.
Terdahulu, pada 3 Mei lalu, polis mengesahkan menerima sebanyak 280 laporan berhubung penularan karikatur yang didakwa menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di media sosial.