fb fb fb fb fb

486 pelajar India B40 di Selangor terima bantuan pendidikan

486 pelajar India B40 di Selangor terima bantuan pendidikan

SHAH ALAM, 6 Julai- Seramai 486 pelajar daripada komuniti India B40 di Selangor menerima bantuan pendidikan daripada Kerajaan Negeri, melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.2 juta bagi tahun ini.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shaari berkata, bantuan berkenaan diberikan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian peringkat diploma dan ijazah pertama, dengan masing-masing menerima sebanyak RM2,000 dan RM3,000.

Jelas Datuk Seri Amirudin, wang tersebut akan dimasukkan terus ke dalam akaun pelajar yang layak, bagi memastikan ia dimanfaatkan sepenuhnya untuk tujuan pendidikan.

"Kita lancar sejak tahun 2013 iaitu bantuan yuran untuk pelajar-pelajar mahasiswa-mahasiswi khusus buat masyarakat India yang melanjutkan pengajian peringkat diploma dan juga ijazah pertama. Bantuan yang diberikan bermula RM3,000 untuk ijazah pertama dan RM2,000 untuk diploma.

"Hari ini sebanyak 486 orang dengan keseluruhan belanjawan kita adalah RM1.2 juta. Wang yang akan diberikan hari ini akan dimasukkan ke dalam akaun pelajar tersebut secara langsung", katanya selepas Majlis Penyerahan Tawaran Bantuan Yuran Pengajian IPTA dan IPTS di Dewan Jubli Perak, Shah Alam.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Amirudin turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri tidak menolak kemungkinan menyemak semula kadar bantuan dan had pendapatan isi rumah pada masa akan datang, selaras dengan peningkatan kos pendidikan.

Tambah beliau, langkah ini penting untuk memastikan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah terus menerima sokongan yang sewajarnya bagi meneruskan pengajian.

"Permohonan kita dapat ada 600 dan kita tengok pada kelayakan. Berdasarkan kelayakan ada 486 dan B40 pendapatan RM3,000 ke bawah dan sebahagiannya lebih RM3,000.

"Kalau kita nak naikkan jumlah itu, boleh. Tapi kalau masa tahun depan boleh kita naikkan sebab RM3,000 ini terlalu rendah, mungkin kita tengok pada tahap-tahap tertentu. Kalau  kita nak tambah, nanti kita boleh naikkan dari segi jumlah isi rumah atau pendapatan isi rumah", katanya.

ROSLINA BINTI DIN