481 projek sakit dan 112 projek terbengkalai seluruh negara – KPKT

MACHANG, 11 Jun – Sebanyak 481 projek sakit dan 112 projek terbengkalai di kenal pasti di seluruh negara ketika ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata pihaknya merekodkan projek sakit dan terbengkalai berdasarkan Lesen Permit Pengiklanan Pembangunan (APDL) bagi membolehkan projek terbabit dipantau dengan rapi.

Beliau berkata, kerjasama daripada semua pihak termasuk pemaju, agensi berkaitan dan kerajaan Negeri diperlukan dalam menangani permasalahan tersebut.

(Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Akmal Nasrullah
Mohd Nasir / FOTO BERNAMA)

“Setiap kemajuan di tapak itu ada masalah tersendiri tetapi bila kita cuba gabungkan atau cuba nilaikan apa yang berlaku maka perkara itu kita dapat kumpulkan.

“Selain task force di peringkat pusat kita sudah mula buat pecahan, pertama kita melihat dari segi contohnya melihat kepada keperluan utiliti, yang akan datang kita akan bincang dengan SPAN untuk tengok pula dari segi air pembentungan dan sebagainya yang kedua adakan perbincangan dengan pihak yang mempunyai kuasa di peringkat pelaksanaan,” katanya selepas lawatan kerja ke tapak projek Taman Baiduri, Jalan Banggol Judah, Labok, Machang, di sini.

Tambah Akmal, di bawah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), terdapat 21 projek sakit, namun dalam tempoh lima bulan ini pihaknya telah menyelesaikan lapan daripadanya.

“Sasaran kita tahun ini di bawah PR1MA mahu menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 projek sakit dan yakin ia boleh mengatasi sasaran yang ditetapkan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Akmal berkata Kelantan antara negeri yang peratusan tertinggi membabitkan projek perumahan swasta tidak mengikut perancangan ditetapkan.

“Di Kelantan, daripada 86 projek dalam pembinaan atau sedang dirancang, 40 daripadanya projek sakit dan tiga mengalami kelewatan. Bagi menangani permasalahan ini, task force projek sakit mengesyorkan supaya kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa task force berfokus bagi menangani permasalahan projek lewat dan sakit di negeri terbabit.

“KPKT akan terus melakukan pemantauan rapi melalui mesyuarat secara berkala bersama agensi teknikal dan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta bersedia menjadi pemudah cara sekiranya terdapat isu berbangkit antara pemaju dan agensi kerajaan atau teknikal,” katanya.