KUALA LUMPUR, 1 Februari- Lebih 4,000 warga Kuala Lumpur berselawat sebagai acara pembuka tirai 28 program yang dirancang sempena Jubli Emas 50 tahun JAWI di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur malam tadi.
Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Ajib Ismail, salah satu daripada program tersebut ialah mempelbagaikan peranan masjid untuk terus menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai penanda aras kepada masjid lain dengan menyantuni masyarakat di lapangan.
"Masjid ini kita pelbagaikan dan kita akan terus melaksanakan program-program luar bagi menunjukkan bahawa masjid sentiasa terbuka kepada pihak luar dan sentiasa peka dengan keperluan.
"Kita akan sentiasa menyokong apa jua dasar yang diputuskan untuk menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai penanda aras kepada masjid lain,"katanya.
Terdahulu, program tersebut disempurnakan oleh Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Turut hadir Dr. Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zulkifli Hassan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), dan Datuk Mohd Nizam Yahya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP.
Sempena sambutan Jubli Emas JAWI pada 1 Februari 2024 slogan 'Membangun Khaira Ummah' dipilih sebagai tema yang bermaksud matlamat tertinggi yang ingin dicapai selaras dengan visi yang mendambakan kesejahteraan ummah.