
SEPANG, 30 Januari – Ekosistem keselamatan penerbangan negara terus diperkukuh dengan penambahan seramai 201 anggota baharu Pembantu Keselamatan Penerbangan (Polis Bantuan) Skuad 31/2025 menamatkan latihan asas intensif secara bersepadu.
- 201 anggota baharu Pembantu Keselamatan Penerbangan Skuad 31/2025 menamatkan latihan asas intensif secara bersepadu.
- Latihan enam bulan merangkumi disiplin, latihan luar, akademik dan kecekapan khusus untuk hasilkan anggota berdaya tahan dan profesional.
- Malaysia Airports menegaskan komitmen melabur dalam pembangunan modal insan keselamatan demi lindungi penumpang dan infrastruktur strategik.
Latihan dijalankan di Pusat Latihan Polis Air Hitam (PULAPAH), Negeri Sembilan dan School of Aviation Security, Malaysia Airports Academy.
Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas berlangsung di pekarangan Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.
Malaysia Airports dalam kenyataannya menegaskan komitmen untuk memastikan keselamatan kukuh sebagai prasyarat utama pertumbuhan mampan industri penerbangan.
Pada 2025, Malaysia Airports mengendalikan hampir 105 juta penumpang, meningkat 11 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Pertambahan penumpang dijangka terus meningkat seiiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus memerlukan tahap keselamatan lebih tinggi,” katanya.
Menurut kenyataan itu, latihan asas selama enam bulan dirangka merangkumi disiplin, latihan luar, akademik dan kecekapan khusus.
“Ia bertujuan melahirkan anggota keselamatan yang berdaya tahan, berintegriti dan profesional,” katanya.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil, pelantikan sebagai Polis Bantuan serta pengiktirafan kepada pelatih terbaik dalam kategori latihan luar, akademik dan keseluruhan.
Turut hadir, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar dan barisan pengurusan tertinggi Malaysia Airports.
Malaysia Airports menegaskan komitmen untuk terus melabur dalam pembangunan modal insan keselamatan bagi menjamin keselamatan penumpang dan melindungi infrastruktur strategik negara.
Langkah ini selaras dengan aspirasi negara untuk kekal sebagai hab penerbangan serantau bertaraf dunia.