
KUALA LUMPUR, 13 April – Permodalan Nasional Berhad (PNB) melalui anak syarikat milik penuhnya, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), merekodkan lebih 200,000 penyertaan pelajar menerusi program Celik MADANI tahun lalu.
- Kerjasama strategik KPT dan institusi pengajian tinggi memerkasa mahasiswa dari segi akademik dan literasi pengurusan kewangan.
- Setiap pelajar berdaftar menerima pelaburan permulaan RM50 dalam unit amanah ASB atau ASM sebagai insentif menabung.
- Program dilancarkan Ogos 2024, menyasarkan satu juta penyertaan menjelang 2030 dan mendapat komitmen serta pengiktirafan institusi pengajian tinggi.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata pencapaian tersebut bukti keberkesanan kerjasama strategik antara kementerian dan institusi pendidikan tinggi dalam pemerkasaan mahasiswa yang bukan sahaja dari segi akademik, tetapi juga dari aspek pengurusan kewangan.
“Setakat penghujung tahun 2025, saya difahamkan program ini telah pun mencapai penglibatan seramai 200,000 orang. Ini adalah hasil kerjasama erat antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama universiti, politeknik, dan kolej komuniti bagi meneruskan agenda literasi kewangan ini.
“Dengan perkembangan positif ini, saya yakin lebih ramai pelajar akan tertarik untuk menabung, terutamanya dengan insentif RM50 sebagai pelaburan permulaan yang disediakan oleh pihak ASNB,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pencapaian dan Hala Tuju Celik MADANI di ibu negara, hari ini.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda; Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad; serta Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman.
Dalam majlis yang sama, sebanyak enam institusi pengajian tinggi menerima pengiktirafan istimewa atas sumbangan cemerlang mereka dalam menjayakan pelaksanaan program Celik MADANI sepanjang tahun 2025.
Terdahulu, Program Celik MADANI yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) pada 22 Ogos 2024 menyasarkan penyertaan kumulatif seramai satu juta pelajar menjelang tahun 2030, selaras dengan usaha ASNB untuk memperkasakan belia Malaysia sebagai ‘Generasi Labur’ yang berdaya tahan.
Melalui program ini, setiap pelajar yang mendaftar akan menerima pelaburan permulaan sebanyak RM50 dalam bentuk unit amanah Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau Amanah Saham Malaysia (ASM).
Setakat ini, sebanyak 27 universiti telah memberikan komitmen penuh dalam menjayakan inisiatif ini dan sebanyak 196 aktiviti promosi telah dilaksanakan oleh ASNB di seluruh negara, melibatkan lebih 134,000 pelajar melalui program literasi kewangan dan sesi bimbingan pembukaan akaun.