
MEDAN, 12 September – Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE) buat julung kalinya menganjurkan Persidangan Antarabangsa mengenai Teknologi Digital Generasi Baharu 2026 yang menghimpunkan 200 penyelidik terkemuka, pakar industri dan pelajar pascasiswazah dari pelbagai negara.
- Tumpuan persidangan: perkembangan AI, robotik, Internet Pelbagai Benda, keusahawanan digital, AI dalam pendidikan dan pemerkasaan golongan asnaf.
- Persidangan mengiktiraf potensi transformatif AI yang melangkaui disiplin pengkomputeran tradisional dan aplikasinya merentas pelbagai sektor.
- Platform untuk berkongsi hasil penyelidikan, perbincangan merangsang pemikiran serta penjalinan rangkaian profesional antarabangsa.
- Kerjasama strategik melibatkan FCoEE, UKM, UMSU, UMK dan beberapa universiti antarabangsa memperkukuh kolaborasi penyelidikan dan pertukaran ilmu.
Persidangan yang berlangsung dari 12 hingga 14 September 2026 di Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU), Indonesia itu memberi tumpuan kepada perkembangan inovatif dalam teknologi digital serta aplikasinya dalam pelbagai sektor.
Menurut kenyataan Pengerusi Eksekutif FCoEE, Profesor Emeritus Datuk Dr Kamaruddin Hussin, antara perkara yang diterokai termasuk perkembangan terkini dalam kecerdasan buatan (AI) dan aplikasinya, robotik serta Internet Pelbagai Benda (IoT), keusahawanan digital, AI untuk pendidikan dan pengkomputeran, serta pemerkasaan golongan asnaf melalui AI.
Persidangan itu turut mengiktiraf potensi transformatif AI yang melangkaui disiplin pengkomputeran tradisional, dengan menampilkan aplikasinya merentas pelbagai sektor serta memberi tumpuan khusus kepada pemerkasaan komuniti asnaf melalui penyelesaian inovatif dipacu AI.
Peserta berpeluang berkongsi hasil penyelidikan, terlibat dalam perbincangan yang merangsang pemikiran serta menjalin rangkaian dengan profesional dari seluruh dunia.
Dengan menghimpunkan pakar daripada pelbagai bidang, persidangan itu berupaya memupuk kerjasama antara disiplin dan mencetuskan pendekatan baharu bagi mengintegrasikan AI merentas pelbagai sektor, di samping menjadi platform untuk berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam menangani cabaran dunia sebenar.
Persidangan kali ini memperlihatkan jalinan kolaborasi strategik antara FCoEE, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), UMSU dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Persidangan turut mendapat kerjasama daripada Universitas Deztron, Indonesia; Fahad University, Arab Saudi; Universitas Ubudiyah Indonesia; National Institute of Technology Silchar, India; Kasetsart University, Thailand dan Sultan Sharif Ali Islamic University, Brunei.
Fellow Penyelidik Kanan Institut Visual Informatik UKM, Profesor Madya Dr Rabiah Abdul Kadir dan Pensyarah Kanan UniMAP, Dr Bibi Noraini Mohd Yusuf antara mereka yang menyampaikan ucaptama pada persidangan itu.
Perasmian penutup persidangan akan disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.