KUALA LUMPUR, 22 September - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendedahkan seramai 2.3 juta pemegang Lesen Memandu Kompeten (CDL) kini berstatus tidak aktif selepas tamat tempoh melebihi tiga tahun.
Manakala sejumlah 15.2 juta merupakan pemegang lesen CDL aktif iaitu masih berkuat kuasa.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, mereka yang lesen tamat tempoh lebih tiga tahun diwajibkan menduduki semula ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu Bahagian 2 dan 3 (KPP02 dan KPP03) di Institut Memandu (IM) bagi mengaktifkan semula lesen memandu.
"Sementara itu, pemegang lesen memandu yang tamat tempoh tidak melebihi tiga tahun adalah diseru untuk segera memperbaharui lesen melalui aplikasi MyJPJ, portal mySikap, kiosk tanpa perlu hadir ke kaunter
secara bersemuka," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, JPJ mengumumkan penambahan waktu pengoperasian Kaunter Lesen Memandu dan Kaunter Pelbagai pada Sabtu dan Ahad bermula pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang, berkuat kuasa pada 27 September hingga 26 Oktober depan.
Langkah itu selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 atau BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bermula 30 September ini.
Penambahan waktu operasi kaunter itu berkuat kuasa di semua pejabat JPJ negeri dan cawangan di seluruh negara bagi memberikan lebih ruang dan fleksibiliti kepada orang ramai, khususnya mereka yang mempunyai kekangan masa pada hari bekerja untuk memperbaharui lesen memandu.