JOHOR BAHRU, 14 Oktober -Seramai 2,777 penduduk di Johor masih menerima rawatan susulan berkaitan kesihatan mental di Klinik Kesihatan seluruh negeri bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr. Mohtar Pungut @ Ahmad berkata, daerah Johor Bahru mencatatkan jumlah tertinggi dengan 641 kes yang masih menjalani rawatan susulan.
Hasil saringan Minda Sihat mendapati seramai 1,140 individu telah dirujuk ke Klinik Kesihatan untuk penilaian lanjut, manakala 118 kes memerlukan rujukan ke hospital bagi penilaian serta rawatan pakar.
Menurut Dr. Mohtar, trend peningkatan itu jelas menunjukkan keperluan tinggi masyarakat terhadap perkhidmatan kesihatan mental yang mudah diakses.
"Yang penting sebenarnya kesedaran itu perlu awal dan mereka tampil awal. Macam penyakit lain juga, kalau dapat kesan dan rawat lebih awal, Insya-Allah boleh pulih dan kembali ke komuniti untuk jalani kehidupan seperti biasa. Itu tujuan kita adakan sambutan ini, bagi mengingatkan masyarakat bahawa kesihatan mental perlu dijaga," katanya kepada pemberita semasa Majlis Perasmian Mentari Johor Bahru dan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2025, di sini.
Setakat Julai lalu, jumlah pesakit mendapatkan rawatan di Mentari Johor Bahru meningkat lebih dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya menggambarkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap pentingnya menjaga kesihatan mental.