KUALA LUMPUR, 14 Oktober – Strategi Kepercayaan Digital dan Keselamatan Data sedang dibangunkan sebagai kerangka utama bagi memperkukuh kawalan dan tadbir urus keselamatan data kerajaan.
- Strategi Kepercayaan Digital dan Keselamatan Data dibangunkan untuk memperkukuh kawalan serta tadbir urus keselamatan data kerajaan.
- Matlamat meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap sistem digital kerajaan melalui prinsip keselamatan, akauntabiliti dan kepercayaan.
- Perkhidmatan ujian keselamatan ICT disediakan, termasuk MyCC, TSA, VAPT dan pematuhan ISMS ISO/IEC 27001.
- Latihan dan pensijilan profesional seperti C-CISO diberikan kepada pegawai sektor awam untuk memperkukuh kemampuan keselamatan siber.
Pada masa sama, strategi tersebut bertujuan mempertingkatkan kepercayaan rakyat terhadap sistem digital kerajaan.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata strategi itu akan menyatukan prinsip keselamatan, akauntabiliti dan kepercayaan digital bagi menyokong pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) ke arah pembentukan sebuah Negara Kecedasan Buatan (AI) yang selamat dan dipercayai.
“Kementerian ini percaya, melalui pelaksanaan yang menyeluruh dengan pendekatan perkongsian-tanggungjawab yang betul, perlindungan terhadap keselamatan maklumat peribadi rakyat dalam sistem kerajaan boleh dicapai secara berstruktur, diaudit secara berkala dan ditambah baik daripada semasa ke semasa bagi mempertingkatkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan,” katanya di Dewan Rakyat.
Sementara itu, perkhidmatan bagi ujian keselamatan ICT turut disediakan.
“Kementerian juga melalui CyberSecurity Malaysia, turut menyediakan perkhidmatan bagi ujian keselamatan ICT melalui pensijilan Malaysian Common Criteria Evaluation and Certification (MyCC) dan Technology Security Assurance (TSA), penilaian kerentanan dan ujian penembusan (Vulnerability Assessment and Penetration Testing [VAPT), serta pematuhan kepada piawaian antarabangsa ISMS ISO/IEC 27001.
“Latihan juga diberikan kepada pegawai-pegawai sektor awam dalam aspek pensijilan profesional seperti Certified Chief Information Security Officer (C-CISO)”, katanya.
Pernyataan itu bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias, di Dewan Rakyat.