
KOTA KINABALU, 1 April- Seramai 187 orang daripada 51 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir yang melanda daerah Nabawan, pagi ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memberitahu semua mangsa banjir dipindahkan ke PPS Gereja SIB Salarom Baru yang dibuka pukul 12.30 tengah malam tadi.
“Trend pemindahan mangsa banjir adalah kekal pada pagi ini.
“Banjir dipercayai akibat hujan lebat berterusan bermula petang semalam,” menurut kenyataan itu.
(Foto hiasan)
Sementara itu, Jabatan Kerja Raya Sabah dalam kenyataan memberitahu hanya satu jalan iaitu Jalan Pamuntarian-Kabu Baru di Nabawan tidak boleh dilalui akibat ditenggelami air dalam kejadian banjir dan tiada jalan alternatif boleh digunakan pengguna jalan raya buat masa ini.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia pada pukul 5.00 pagi tadi mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di kawasan pantai barat negeri ini terutama Kota Belud dan Kudat hingga pukul 9.00 pagi ini.