fb fb fb fb fb

171 individu direman tujuh hari bermula hari ini - KPN

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 September - 171 individu yang ditahan menerusi Op Global di Selangor dan Negeri Sembilan semalam, ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes sebuah syarikat didakwa mengeksploitasikan kanak-kanak dan agama.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan pelbagai kementerian dan agensi berkaitan bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.

Beliau berkata polis juga telah mengenal pasti penghuni disyaki menjadi mangsa liwat di rumah amal yang diserbu semalam.

"Siasatan kita teruskan bagi melihat apa lagi tindakan boleh diambil terutama dari segi pendidikan. Kita tahu yang sepatutnya bersekolah tetapi tidak ke sekolah dan mereka ada pendidikannya sendiri. Kita mungkin akan berhubung dengan Kementerian Pendidikan.

"Apabila mereka buka rumah amal ini kononnya untuk anak yatim, kita juga nak melihat adakah rumah amal ini didaftarkan, itu semua siasatan kita, daripada situ mungkin ada kesalahan-kesalahan lain kita boleh lihat lagi, akan ada saksi-saksi yang akan tampil," katanya.

Beliau berkata kesemua premis rumah amal terbabit ditutup sementara waktu dan tindakan sita mungkin diambil.

Razarudin berkata ketika ini, kesemua mangsa masih dalam proses dokumentasi dan pemeriksaan kesihatan.

"Kita rasakan perlu untuk ambil DNA (asid deoksiribonukleik) kerana ibu bapa mereka kita tahu adalah ahli-ahli (syarikat) itu sendiri dan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan melihat tentang aspek kesihatan dan kebajikan,” katanya.

Semalam, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan serta menahan 66 lelaki dan 105 wanita yang bertugas sebagai penjaga, ustaz, dan pengerusi rumah amal berkenaan berusia dalam lingkungan 17 hingga 64 tahun.

Polis turut menyelamatkan 402 individu, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur setahun hingga 17 tahun yang ditempatkan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur.

Berdasarkan maklumat risikan, mangsa diajar untuk meliwat dan seterusnya mangsa diliwat oleh penjaga dan dipaksa untuk meliwat penghuni kanak-kanak yang lain.

Mangsa yang tidak sihat juga tidak dibenarkan mendapatkan rawatan di klinik hingga keadaan kritikal, selain suspek menggunakan objek panas bagi mencederakan mangsa sebagai tanda menghukum atas kesilapan dilakukan. - BERNAMA

Trainee