17 barangan tersenarai di bawah SHMMP Kaamatan dan Gawai 2026

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali bersama penduduk di Kundasang/Foto BERNAMA

SABAH, 22 Mei – Sebanyak 17 barangan telah disenaraikan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2026 yang bermula 27 Mei hingga 4 Jun ini bagi mengekang kenaikan harga barangan keperluan sepanjang musim perayaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tujuan SHMMP memastikan harga barangan asas terkawal dan melindungi pengguna daripada tekanan kos sara hidup semasa musim perayaan.
  • Perincian perubahan harga: Sabah, enam turun, tiga kekal, dua baharu; Gawai, lima turun, tiga kekal, satu baharu.
  • Penguat kuasa pantau premis, tanda harga merah jambu diwajibkan; pelanggaran boleh dikenakan denda dan hukuman menurut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelaksanaan skim itu bertujuan memastikan harga barangan asas kekal terkawal serta melindungi pengguna daripada tekanan kos sara hidup yang meningkat ketika musim perayaan.

Jelasnya, 17 barangan tersebut meliputi 12 jenis barangan bagi negeri Sabah dan Sarawak serta 11 bagi Wilayah Persekutuan (WP) Labuan.

“Untuk Sabah, daripada 12 barangan tersebut, enam mencatatkan penurunan harga maksimum, tiga kekal pada harga tahun lalu, dan dua merupakan barangan baharu. Bagi Hari Gawai pula, lima barangan mengalami penurunan harga kawalan maksimum, tiga kekal, dan satu barangan baharu diperkenalkan tahun ini,” katanya ketika mengumumkan SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2026 di Kundasang, Ranau di sini hari ini.

Antara barangan yang terlibat di bawah SHMMP Pesta Kaamatan dan Labuan ialah kepak ayam, cili kering keriting, bawang merah kecil (India), halia tua import serta ubi kentang (China).

“Bagi SHMMP Hari Gawai, antara barangan yang disenaraikan termasuk daging kerbau import (India), ayam tua hidup, kubis bulat import dan kelapa parut.

“Sepanjang tempoh pelaksanaan skim tersebut, pegawai penguat kuasa akan menjalankan pemantauan berterusan di premis perniagaan bagi memastikan peniaga mematuhi harga maksimum yang ditetapkan serta meletakkan tanda harga merah jambu bagi barangan terkawal,” katanya.

Armizan menegaskan, mana-mana peniaga yang didapati melanggar peraturan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723), termasuk kompaun dan penalti.

“Individu yang menjual melebihi harga maksimum boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau kompaun sehingga RM50,000, selain hukuman penjara. Sementara itu, syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.