PERLIS, 30 Oktober - 100 penduduk di Parlimen Padang Besar lebih menerima sumbangan barangan keperluan asas sempena perayaan Deepavali yang akan disambut pada Khamis.
Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Ruzaini Rais berkata, sumbangan ini adalah bagi membantu golongan memerlukan terdiri daripada warga emas, orang kurang upaya dan ibu tunggal.
"Program sumbangan ini dilaksanakan saban tahun bagi membantu penerima dalam persiapan menyambut Deepavali selain menzahirkan tanda keperihatinan dan berkongsi rezeki dalam suasana penuh harmoni dan saling membantu antara satu sama lain.
"Deepavali bukan hanya sekadar perayaan keagamaan yang disambut satu kaum semata-mata, tetapi dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum ini sama-sama meraikan sebagai satu keluarga," katanya semasa menyantuni masyarakat India bagi Parlimen Padang Besar di Beseri.
Beliau juga berharap program kebajikan yang dilaksanakan dapat memberi sinar kegembiraan dan diraikan penuh bermakna menerusi amalan kunjung-mengunjung.