
KUALA LUMPUR, 14 Oktober – Sebanyak 10 peratus daripada jumlah kutipan Kempen Tabung Pahlawan (KTP) diperuntukkan bagi aktiviti pelaburan melalui simpanan tetap di institusi kewangan.
- Pelaburan bertujuan meningkatkan nilai dana dan menjana pulangan berterusan bagi kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia.
- Keuntungan pelaburan risiko rendah disalurkan untuk bantuan kecemasan, bencana seperti banjir dan bantuan kesihatan khas veteran.
- KTP menerima peruntukan RM2 juta daripada Kementerian Kewangan untuk menjana pulangan tambahan tabung.
- Kementerian lancar laman web rasmi memaparkan kutipan sumbangan masa nyata untuk ketelusan dan galakan sumbangan korporat serta awam.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, langkah tersebut bertujuan meningkatkan nilai dana sedia ada bagi menjana pulangan berterusan demi kebajikan para veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Keuntungan daripada pelaburan berisiko rendah itu akan disalurkan semula bagi membiayai bantuan kebajikan, khususnya sewaktu kecemasan dan bencana seperti banjir serta kebakaran, selain bantuan kesihatan khas buat para veteran.
“Sehingga 22 September tahun ini, sebanyak RM1.51 juta telah ditempatkan dalam simpanan tetap di Bank Islam dan yang akan matang menjelang 15 Mac 2027.
“Selain itu, KTP turut menerima peruntukan sebanyak RM2 juta daripada Kementerian Kewangan bagi menjana pulangan tambahan bagi tabungan Tabung Pahlawan ini.
“Pada masa yang sama, Kementerian Pertahanan akan terus menggalakkan sumbangan secara berterusan daripada masyarakat dan sektor korporat.
“Usaha ini penting kerana tanggungjawab menghargai pengorbanan para veteran yang telah mempertahankan kedaulatan negara bukan sahaja terletak pada kerajaan, malah merupakan tanggungjawab bersama seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Lumut, Komander Nordin Ahmad Ismail berhubung hala tuju transformasi Tabung Pahlawan daripada kebergantungan kepada sumbangan awam secara bermusim kepada model penjanaan dana mampan melalui pelaburan strategik atau rakan kongsi korporat.
Dalam pada itu, bagi meningkatkan ketelusan dan memudahkan sumbangan orang ramai serta sektor korporat, kementerian juga telah melancarkan laman web rasmi Kempen Tabung Pahlawan yang memaparkan kutipan sumbangan secara masa nyata (real-time).
Pada tahun ini, tabung berkenaan mengumpul keseluruhan sumbangan melebihi RM4 juta.