AI pacu pewujudan pekerjaan berkemahiran tinggi

Akmal Nasrullah Mohd Nasir/ RTM

KUALA LUMPUR, 14 Oktober- Perkembangan kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan automasi membuka peluang kepada pewujudan pekerjaan berkemahiran tinggi, selain mendorong penstrukturan semula pasaran buruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kajian Talent Corporation: 90% pekerjaan sedia ada kekal relevan melalui penyesuaian kemahiran; 10% terjejas oleh automasi atau penyelarasan fungsi.
  • RMK13 menyasarkan komposisi pekerjaan mahir meningkat kepada 35% menjelang 2030 sebagai usaha penstrukturan pasaran buruh.
  • Pada 2025, pekerjaan mahir 30.1%, separuh mahir 57% dan berkemahiran rendah 12.9%, menunjukkan keperluan peningkatan kemahiran.
  • Malaysia mensasarkan 500,000 peluang pekerjaan melalui perancangan AI; TVET dan KESUMA laksana latihan, Kementerian Ekonomi urus dasar.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, berdasarkan kajian pada 2024, sebanyak 90 peratus pekerjaan sedia ada kekal relevan, manakala baki 10 peratus berdepan penyelarasan semula fungsi.

“Berdasarkan kajian Impact of Artificial Intelligence, Digital and Green Economy on the Malaysian Workforce oleh Talent Corporation pada November 2024, 90 peratus pekerjaan sedia ada kekal relevan menerusi penyesuaian kemahiran.

“Manakala baki 10 peratus berdepan impak automasi atau penyelarasan semula fungsi susulan perkembangan AI, pendigitalan dan ekonomi hijau,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata perubahan keperluan pasaran buruh itu membuka peluang kepada penciptaan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi, selaras dengan sasaran Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) untuk meningkatkan komposisi pekerjaan mahir kepada 35 peratus daripada jumlah tenaga kerja menjelang 2030.

Pada 2025, pekerjaan mahir merangkumi 30.1 peratus daripada jumlah tenaga kerja, manakala 57 peratus terdiri daripada pekerjaan separuh mahir dan 12.9 peratus pekerjaan berkemahiran rendah.

Malaysia turut menyasarkan pewujudan 500,000 peluang pekerjaan menerusi perancangan berkaitan AI bagi menghadapi perubahan pasaran buruh susulan perkembangan teknologi.

Akmal Nasrullah berkata penggunaan teknologi perlu disesuaikan bagi meningkatkan kecekapan tenaga kerja, manakala latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memainkan peranan dalam membantu pekerja menghadapi perubahan berkenaan.

“Justeru, cabaran ini perlu ditangani dengan meningkatkan adaptasi penggunaan teknologi bagi mempermudah dan meningkatkan kecekapan tenaga kerja.

“Agensi pelaksana di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berperanan secara langsung dalam pelaksanaan latihan TVET. Sementara itu, Kementerian Ekonomi melihat cabaran AI dari sudut kerangka dasar dan hala tuju negara,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.