
SEREMBAN, 22 Julai – Lima kertas siasatan berkaitan kesalahan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari 18 Julai hingga semalam.
- Sembilan laporan polis diterima dalam tempoh tersebut.
- Satu siasatan dibuka mengikut Seksyen 435 selepas 10 bendera PH dibakar di FELDA Kepis, Kuala Pilah.
- Satu laporan di Kuala Klawang dakwa provokasi dan penghinaan oleh penyokong PH semasa penamaan calon.
- Keamanan PRN dilaporkan baik, polis tingkatkan kesiapsiagaan dan penguatkuasaan untuk memastikan pilihan raya berlangsung aman, harmoni dan teratur.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata dalam tempoh sama, sebanyak sembilan laporan polis diterima.
Semalam, polis menerima dua laporan, dengan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan, susulan kejadian khianat dengan api sehingga menyebabkan kehilangan atau kerugian harta benda.
Kes berkenaan melibatkan laporan seorang lelaki berusia 38 tahun selepas mendapati 10 bendera parti politik Pakatan Harapan (PH) dibakar di kawasan FELDA Kepis, Kuala Pilah.
“Satu lagi laporan diterima di Kuala Klawang, Jelebu berkaitan dakwaan provokasi dan penghinaan oleh penyokong PH ketika penamaan calon di Dewan Besar Kuala Klawang pada 18 Julai lalu,” katanya.
PDRM Negeri Sembilan telah menerima 35 permohonan permit bagi penganjuran ceramah dan aktiviti politik pada 21 Julai, dengan 32 daripadanya diluluskan selepas memenuhi syarat ditetapkan.
“Secara kumulatif, sebanyak 178 permohonan permit diterima sejak 18 hingga 21 Julai dengan 173 daripadanya diluluskan,” jelasnya lagi.
Beliau juga memaklumkan situasi keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang PRN Negeri Sembilan ke-16 berada pada tahap baik dan terkawal.
Polis katanya akan terus meningkatkan kesiapsiagaan dan penguatkuasaan serta mengambil tindakan tegas terhadap sebarang pelanggaran undang-undang bagi memastikan proses pilihan raya berlangsung dalam suasana aman, harmoni dan teratur.