
KUALA PILAH, 22 Julai – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senaling, Mohd Hanis Mohd Alimin memberi tumpuan mendekati pengundi luar khususnya
golongan muda menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
- Mencipta kandungan media sosial untuk menarik pengundi luar pulang mengundi.
- Mengharap keluarga di kawasan dapat memujuk pengundi luar supaya balik mengundi.
- Kempen rumah ke rumah dan penggunaan media sosial diperkasakan menarik sokongan pengundi muda.
- Tekankan peluang pekerjaan terhad dan fokus kepada pembangunan fasiliti sukan serta pemerkasaan produk pelancongan makanan tempatan.
Beliau berkata, kira-kira separuh daripada pengundi di DUN berkenaan merupakan pengundi luar yang bekerja dan menetap di kawasan lain sekali gus menjadi cabaran utama untuk memastikan mereka pulang menunaikan tanggungjawab pada 1 Ogos nanti.
“Beberapa perancangan giat dilaksanakan ketika ini termasuk mencipta kandungan media sosial bagi menarik golongan pengundi luar untuk pulang mengundi.
“Kami berharap keluarga mereka yang menetap di kawasan DUN ini dapat memujuk pengundi luar untuk balik mengundi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Felda Kepis di sini.
Katanya lagi kempen secara rumah ke rumah serta penggunaan media sosial terus diperkasakan bagi menarik sokongan pengundi muda.
Beliau hari ini mengunjungi beberapa kediaman penduduk di Felda Kepis serta berpeluang menyaksikan permainan tradisional gasing dan kompang bersama masyarakat setempat.
Menurutnya antara isu utama golongan muda di DUN Senaling adalah peluang pekerjaan yang terhad menyebabkan mereka perlu berhijrah ke bandar.
Beliau turut memberi tumpuan kepada pembangunan fasiliti sukan serta memperkasa produk pelancongan makanan tempatan sebagai peluang ekonomi kepada golongan muda.
PRN Negeri Sembilan ke-16 bagi DUN Senaling menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH) daripada AMANAH, Mohd Hanis Alimin, calon Barisan Nasional (BN) yang diwakili Mohamad Qayyum Abd Jalil serta calon Perikatan Nasional (PN) daripada Bersatu, Mohd Izaffi Istear Khan.