
SEREMBAN, 23 Julai – Sebanyak 226 daripada 231 permohonan permit bagi penganjuran ceramah dan aktiviti kempen politik sempena Pilihan Raya Umum Negeri Sembilan Ke-16 diluluskan polis bagi tempoh 18 hingga 22 Julai.
- Keadaan keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang proses pilihan raya dilaporkan baik dan terkawal.
- Semua permohonan permit yang diterima pada satu hari diluluskan selepas memenuhi syarat ditetapkan.
- Beberapa laporan diterima berkaitan vandalisme bahan kempen, dua kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
- PDRM akan mempertingkat kesiapsiagaan dan penguatkuasaan bagi memastikan pilihan raya berlangsung aman, harmoni dan teratur.
Ketua Polis Negeri Sembilan, DCP Datuk Alzafny Ahmad berkata, situasi keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang proses pilihan raya setakat ini berada pada tahap baik dan terkawal.
Ujar beliau, pada 22 Julai sahaja, polis menerima 53 permohonan permit dan kesemuanya diluluskan selepas memenuhi syarat ditetapkan.
Dalam tempoh sama, tiga laporan polis diterima dan dua kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, membabitkan perbuatan khianat terhadap bahan kempen.
“Kes berkenaan melibatkan papan iklan Pakatan Harapan yang diconteng di Kuala Sawah, Seremban, serta sebuah lagi papan iklan yang disimbah cat di Ayer Hitam, Jempol, dengan kerugian dianggarkan melebihi RM 2,500 .
“Satu lagi laporan diterima berhubung banting yang dibuang ke dalam semak di Sungai Lui, Jempol.
“Secara kumulatif, polis menerima 12 laporan dan membuka tujuh kertas siasatan berkaitan kesalahan pilihan raya dari 18 hingga 22 Julai” maklum beliau menerusi kenyataan.
Tambah beliau, PDRM akan terus mempertingkat kesiapsiagaan dan penguatkuasaan bagi memastikan Pilihan Raya berlangsung dalam keadaan aman, harmoni dan teratur.