
LINGGI, 22 Julai- Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa melaksanakan pelbagai inisiatif memperkasa syiar Islam bagi memperkukuh pembangunan agama serta memenuhi keperluan masyarakat Islam di negeri itu
- Kerajaan negeri mengeluarkan peruntukan sendiri untuk bina masjid, sekolah agama, Kompleks Pengajian STAM dan menaik taraf institusi pendidikan agama.
- Pelaksanaan pelbagai program keagamaan untuk mengimarahkan negeri dan memperkukuh pembangunan agama Islam.
- Aminuddin meneruskan kempen dengan menyantuni penduduk Rumah Rakyat Kampung Permatang Pasir, termasuk warga emas dan uzur.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai usaha termasuk pembinaan masjid, sekolah agama, Kompleks Pengajian Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta menaik taraf beberapa institusi pendidikan agama.
“Kerajaan negeri mengeluarkan peruntukan sendiri untuk membina masjid. Kita juga membina sekolah agama, menyediakan Kompleks Pengajian STAM dan sedang menaik taraf beberapa sekolah agama.
“Selain itu, pelbagai program keagamaan turut dilaksanakan bagi mengimarahkan negeri ini,” katanya ketika berkempen di sini hari ini.
Beliau turut berkata pembangunan agama Islam terus menjadi antara aspek yang diberi perhatian oleh kerajaan negeri menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan sepanjang pentadbirannya.
Dalam pada itu, Datuk Seri Aminuddin yang juga calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi meneruskan kempen dengan menyantuni penduduk di sekitar Rumah Rakyat Kampung Permatang Pasir, termasuk golongan warga emas dan uzur.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, beliau berdepan saingan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Faizal Ramli dan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Zamri Md Said.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), PH berjaya membentuk Kerajaan Negeri Sembilan selepas memenangi 20 daripada 36 kerusi DUN negeri itu.