SAUDARA PENGARANG
Sejak kebelakangan ini, isu berkaitan warga emas yang kehilangan wang kerana tertipu dengan pelbagai penipuan dalam talian sering menjadi tajuk utama dalam akhbar-akhbar di negara ini. Tajuk-tajuk berita seperti "Warga emas berputih mata, rugi lebih RM540,000 ditipu 'phone scam’," "Warga emas rugi RM1.7 juta ditipu pelaburan tawar pulangan lumayan," dan "Warga emas kerugian RM2.2 juta ditipu ‘kekasih maya’” bukan lagi sesuatu yang baharu, malah sudah menjadi satu berita biasa yang sering dibaca oleh masyarakat.
Kebanyakan mangsa jenayah telekomunikasi ini terdiri daripada kalangan golongan berpencen. Apa yang lebih membimbangkan ialah jumlah wang yang berjaya ditipu daripada golongan ini bukan seribu dua, tetapi mencecah sehingga jutaan ringgit daripada seorang individu sahaja.
Menurut laporan akhbar tempatan pada tahun 2024, jumlah kerugian melibatkan warga emas yang menjadi mangsa penipuan dalam talian bagi tempoh 2021 hingga 2023 mencecah RM552.51 juta. Ia melibatkan seramai 5,533 orang, iaitu 6.4 peratus daripada keseluruhan 86,266 mangsa yang ditipu sepanjang tiga tahun tersebut, dengan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM2.76 bilion.
Ramai daripada golongan ini terjebak dalam aktiviti seperti pelaburan dalam talian yang tidak wujud, skim mata wang kripto palsu, penipuan ‘phone scam’, penyamaran dalam talian, penipuan SMS, tawaran hadiah seperti wang segera, serta penipuan cinta atau romance scam.
Jika diteliti, warga emas menjadi sasaran penjenayah telekomunikasi kerana kebanyakan daripada mereka kurang atau tidak celik digital. Dalam zaman serba moden dan pantas ini, kemahiran menggunakan WhatsApp, berkongsi mesej, dan memiliki akaun Facebook sahaja tidak mencukupi untuk dianggap celik digital.
Mereka masih berada dalam kelompok masyarakat tradisional yang boleh dikategorikan sebagai golongan late adopter, iaitu lambat menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi. Mereka sukar membezakan antara maklumat benar dan palsu, lebih-lebih lagi dalam era kecanggihan kecerdasan buatan (AI) yang menjadikan sesuatu kandungan tiruan kelihatan sangat meyakinkan.
Contohnya, baru-baru ini sepasang suami isteri warga emas dari Kuala Lumpur telah pergi ke Pengkalan Hulu gara-gara tularnya sebuah video yang dipercayai dijana oleh AI mengenai kewujudan kereta kabel di kawasan tersebut.
Warga emas yang tergolong dalam kategori rentan ini juga tidak tahu mengenai bahaya pautan mencurigakan di internet, terutamanya di media sosial seperti Facebook, kumpulan WhatsApp pelaburan yang tidak sah, serta laman web palsu yang sengaja diwujudkan untuk meraih kepercayaan mereka.
Mempercayai panggilan palsu yang kononnya datang daripada pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), polis, pegawai bank, atau pihak mahkamah juga kelemahan golongan ini. Panggilan dari pegawai-pegawai palsu ini menyebabkan golongan ini mudah panik akibat tekanan yang diberikan.
Contoh tekanan yang diberikan adalah seperti kononnya warga emas ini akan dikenakan tindakan undang-undang kerana menyebarkan berita palsu, mempunyai saman, atau melakukan kesalahan lain. Disebabkan panik dan percaya mereka memang bersalah, mereka terus akan melakukan apa sahaja yang diarahkan oleh penjenayah siber.
Selain itu, warga emas adalah golongan yang mudah percaya kepada orang lain, satu sifat mulia warisan orang dahulu yang hidup dalam suasana saling membantu, harmoni dan penuh kejujuran. Mereka akan percaya kepada sesiapa sahaja yang memberikan perhatian dan berpura-pura hendak membantu mereka, walaupun mereka sebenarnya tidak meminta pertolongan tersebut.
Warga emas juga merupakan golongan yang mempunyai aset dan simpanan seperti wang KWSP, pencen, rumah, tanah, dan hasil simpanan daripada usaha bertahun-tahun. Maka, menipu seorang warga emas sahaja pun sudah cukup untuk memberikan pulangan lumayan kepada penjenayah siber.
Golongan rentan ini harus dilindungi dan diberikan pendedahan mengenai aktiviti tidak bermoral dalam talian. Golongan ini perlu didedahkan dengan berita terkini dan amaran dari pihak berkuasa tentang jenis-jenis scam.
Tanggungjawab ini jatuh sepenuhnya ke bahu anak-anak. Anak-anak yang lebih celik teknologi dan lebih arif mengenai dunia penipuan siber pada masa kini harus tampil untuk membimbing ibu bapa mereka. Jangan biarkan warga emas keseorangan dalam menghadapi dunia digital yang penuh dengan tipu daya ini.
Anak-anak boleh membantu dengan memberikan penerangan secara santai dan mudah difahami mengenai pelbagai jenis penipuan atas talian, seperti pelaburan palsu, scam cinta, penipuan ‘phone call’, pautan mencurigakan dan sebagainya.
Mereka boleh menerangkan bagaimana penipuan ini dilakukan, langkah-langkah penjenayah siber memerangkap mangsa, serta cara mengenal pasti tanda-tanda amaran awal seperti nombor telefon tidak dikenali, mesej tergesa-gesa atau tawaran yang terlalu indah untuk dipercayai.
Anak-anak juga boleh membantu memuat turun dan menggunakan aplikasi pengesan scammer, contohnya aplikasi seperti Truecaller atau aplikasi semakan nombor telefon yang boleh dipercayai. Terangkan fungsinya dan ajar ibu bapa cara menggunakannya dengan sabar dan jelas.
Mereka juga perlu membimbing ibu bapa agar sentiasa menyemak sebarang promosi pelaburan dengan Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Terangkan bahawa mana-mana pelaburan yang sah mesti berdaftar dan dipantau oleh agensi berkaitan.
Tunjukkan contoh-contoh penipuan sebenar dari media sosial, berita, atau pengalaman orang lain supaya mereka lebih peka dan dapat mengenal pasti taktik yang digunakan penipu. Galakkan ibu bapa untuk tidak segan atau malu bertanya, sama ada kepada anak-anak, jiran, atau pihak polis sekiranya mereka berasa ragu atau mencurigai apa-apa aktiviti dalam talian.
Segan bertanya sesat jalan, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Anak-anak adalah benteng terakhir bagi melindungi ibu bapa daripada terus menjadi mangsa jenayah siber. Bantulah mereka agar tidak menjadi mangsa seterusnya.
Dalam dunia digital hari ini, kasih sayang bukan sekadar memberikan wang atau sering melawat ibu bapa, tetapi juga memastikan mereka selamat daripada menjadi mangsa penipuan di alam digital.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dr. Rani Ann Balaraman
Pensyarah (Kewartawanan)
Pusat Pengajian Komunikasi
Universiti Sains Malaysia
e-mel: