fb fb fb fb fb

Meningkatkan minat STEM: Dari prestasi cemerlang ke cabaran masa hadapan

Foto Hiasan

SAUDARA PENGARANG

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang diumumkan baru-baru ini membawa khabar menggembirakan apabila pencapaian keseluruhan calon mencatat tahap tertinggi sejak tahun 2013. Gred Purata Nasional (GPN) menunjukkan penurunan kepada 4.49 berbanding 4.60 pada tahun sebelumnya, menandakan peningkatan prestasi yang ketara.

Daripada keseluruhan 402,956 calon, sebanyak 94 peratus layak menerima sijil SPM, manakala 3.7 peratus memperoleh semua A dalam mata pelajaran yang diambil, peningkatan berbanding 3.1 peratus pada tahun 2023 (Malay Mail, 2025). Peningkatan tersebut disambut baik sebagai bukti bahawa pelaburan serta usaha dalam sistem pendidikan negara kini mula membuahkan hasil.

Namun di sebalik pencapaian yang membanggakan itu, timbul kebimbangan mengenai prestasi Malaysia dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Meskipun penyertaan pelajar dalam aliran STEM meningkat kepada 50.8 peratus pada tahun 2024, angka tersebut masih belum mencapai sasaran nasional iaitu 60 peratus yang telah lama ditetapkan (Khazanah Research Institute, 2024).

Isu penurunan minat terhadap STEM bukanlah sesuatu yang baharu dan berpunca daripada pelbagai faktor kompleks. Persepsi umum yang melihat mata pelajaran STEM sebagai sukar, kurang menarik serta tidak relevan kepada kehidupan seharian telah menjejaskan minat pelajar.

Kurangnya pendedahan awal kepada aplikasi dunia sebenar turut menyebabkan pelajar gagal melihat potensi kerjaya luas dalam bidang tersebut. Kekurangan guru terlatih dengan pendekatan pengajaran inovatif serta kemudahan pembelajaran moden, terutamanya di kawasan luar bandar terus memburukkan keadaan.

Kesan langsung daripada penurunan minat itu terserlah dalam keputusan Malaysia dalam Programme for International Student Assessment (PISA) 2022. Malaysia merekodkan penurunan skor dalam ketiga-tiga domain utama:

  • Matematik: -32 mata
  • Membaca: -27 mata
  • Sains: -21 mata

Penurunan itu bersamaan dengan kehilangan pembelajaran sekitar satu hingga dua tahun akademik. Malaysia kini berada di kedudukan ke-54 daripada 81 negara, dengan purata skor sebanyak 409 (ISIS Malaysia, 2024).

Sebagai langkah responsif, kerajaan memperuntukkan RM100 juta dalam Belanjawan 2024 bagi menaik taraf makmal komputer dan peralatan pembelajaran STEM di sekolah seluruh negara (Utusan Malaysia, 2023). Usaha itu bertujuan memperkukuh kemahiran digital dan literasi teknologi dalam kalangan pelajar.

Penubuhan Jawatankuasa Khas STEM merentas kementerian turut diharap dapat memastikan penyelarasan dasar yang lebih menyeluruh antara sektor pendidikan dan industri.

Selain itu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) untuk menjamin bekalan tenaga kerja mahir dalam bidang sains dan teknologi selaras dengan aspirasi negara sebagai hab teknologi serantau (Bernama, 2023).

Walaupun dasar telah diperkenalkan, perubahan budaya pendidikan lebih drastik diperlukan. Kurikulum STEM perlu dirombak supaya lebih berfokus kepada pembelajaran kontekstual, berasaskan projek (project-based learning) dan penyelesaian masalah (problem-solving) agar pelajar memahami kaitan teori dengan dunia sebenar.

Latihan profesional guru juga perlu diberi penekanan supaya pengajaran dapat disampaikan secara kreatif, kontemporari dan sejajar dengan keperluan industri.

Pendekatan komunikasi awam harus diperkemas untuk menangani persepsi negatif terhadap STEM. Kempen kesedaran secara meluas perlu digerakkan, dengan ibu bapa diberi pendedahan tentang kepentingan dan peluang kerjaya dalam bidang ini.

Sekolah pula digalakkan bekerjasama dengan industri untuk menganjurkan program lawatan, mentorship dan pertandingan inovasi supaya pelajar dapat merasai sendiri dunia kerjaya sebenar dalam bidang STEM.

Kejayaan SPM 2024 membuktikan bahawa pelajar Malaysia mempunyai keupayaan intelektual tinggi. Namun tanpa hala tuju jelas serta pendedahan menyeluruh terhadap bidang strategik seperti STEM, potensi itu tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam ekonomi global berasaskan teknologi, pelaburan terhadap minat dan kemahiran STEM perlu dipertingkatkan secara holistik, menyeluruh dan mampan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr Jehana Ermy
Dr. Jehana Ermy Jamaluddin
Pensyarah Kanan, Jabatan Kejuruteraan
Elektrik dan Elektronik, Universiti Tenaga
Nasional (UNITEN)
E-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN