Suspek kes dua pembunuhan dicekup dalam penerbangan

Suspek diberkas hasil perkongsian maklumat strategik serantau – Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 25 Mei – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya memberkas ketua kumpulan jenayah terancang ‘Geng Rames’ dalam satu Op Tiga, baru-baru ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek diberkas ketika dalam penerbangan dari Bangkok ke Hyderabad hasil kerjasama erat pihak berkuasa India dan Thailand, kemudian diekstradisi ke Malaysia.
  • Suspek disyaki terlibat dua kes bunuh berasingan di Padang Serai dan Bedong; disiasat di bawah Seksyen 130V dan Seksyen 302.
  • Tangkap dibuat berdasarkan waran tangkap Mahkamah Majistret Sungai Petani, suspek direman sehingga 29 Mei sementara siasatan diteruskan.

Suspek ketua kumpulan jenayah terancang yang diburu menerusi Notis Merah (Red Notice) Interpol itu berjaya ditahan pada 22 Mei lalu hasil perkongsian maklumat strategik serantau.

Buruan berkenaan aktif melakukan jenayah di Sungai Petani, Kedah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, penangkapan itu dibuat berdasarkan waran tangkap dikeluarkan Mahkamah Majistret Sungai Petani pada 25 Mac lalu, susulan pembabitan aktif suspek dalam aktiviti kongsi gelap.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk M. Kumar – Foto BERNAMA

“Suspek berjaya diberkas hasil kerjasama erat dengan pihak berkuasa India dan Thailand ketika sedang berada dalam penerbangan dari Bangkok, Thailand menuju ke Hyderabad, India dan kemudian diekstradisi ke Malaysia bagi menghadapi tindakan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek juga dipercayai terbabit dalam dua kes bunuh berasingan di kawasan Padang Serai dan Bedong, Kedah pada Februari dan Ogos 2024.

“Buat masa ini, suspek direman sehingga 29 Mei depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

“Suspek turut berdepan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh,” katanya.

Datuk M. Kumar turut menzahirkan penghargaan kepada pihak berkuasa India dan Thailand atas komitmen jitu yang diberikan sepanjang operasi tersebut dijalankan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.