Sindiket rokok seludup bernilai RM769,480 tumpas, tiga warga asing ditahan

Foto ihsan PDRM

KUALA LUMPUR, 2 Julai – Polis menumpaskan sindiket penyimpanan dan pengedaran rokok seludup dengan menahan tiga warga asing dan merampas rokok tidak bercukai bernilai RM769,480 menerusi Op Taring Alpha 1 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Daya, Johor Bahru, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • 292,000 rokok seludup ditemui disimpan dalam sebuah rumah dan sebuah kenderaan.
  • Dua lelaki warga Bangladesh (26, 49) dan seorang wanita warga Indonesia (51) ditahan.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Komander Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/ Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, serbuan kira-kira pukul 10 malam itu membawa kepada penahanan dua lelaki warga Bangladesh berusia 26 dan 49 tahun serta seorang wanita warga Indonesia berusia 51 tahun.

Beliau berkata, pemeriksaan menemukan 292,000 rokok seludup pelbagai jenama yang disimpan di dalam rumah dan sebuah kenderaan.

“Operasi itu berjaya melumpuhkan satu rangkaian penyimpanan dan pengedaran rokok tidak bercukai kastam yang aktif di sekitar Johor Bahru.

Polis percaya dalang sindiket itu masih bebas dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang larangan tanpa kelulusan kastam serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.