Suri rumah direman kes M16 dalam rumah

Suri rumah direman lima hari susulan kes penemuan lima senjata api.

GUA MUSANG, 21 April – Seorang suri rumah berusia 32 tahun direman lima hari bagi membantu siasatan kes penemuan lima senjata api, termasuk raifal M16 dalam sebuah rumah di Kampung Miak, di sini semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perintah reman dikeluarkan oleh hakim bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
  • Wanita ditahan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika serbuan dijalankan di kediaman berkenaan.
  • PGA merampas lima senjata api termasuk sepucuk raifal M16; polis menyiasat punca pemilikan dan kaitan jenayah.

Perintah reman bermula hari ini sehingga Sabtu itu dikeluarkan oleh Hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, wanita terbabit ditahan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika serbuan dijalankan di kediaman berkenaan.

Menurut beliau, tahana reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 serta Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.

Dalam serbuan semalam, PGA dilaporkan merampas lima senjata api termasuk sepucuk raifal M16.

Serbuan Op Bersepadu kira-kira jam 6.45 petang itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Jabatan Perhutanan Negeri.

Polis kini giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca pemilikan senjata berkenaan serta sama ada ia mempunyai kaitan dengan kegiatan jenayah lain.